Hiburan
Rakaman CCTV Jonghyun SHINee Didedahkan, Kali Terakhir Dilihat Di Kedai Serbaneka
Kamera Litar Tertutup (CCTV) di sebuah kedai serbaneka di Seoul berjaya merakamkan aksi terakhir penyanyi utama kumpulan SHINee, Jonghyun sebelum membunuh diri.
Video tersebut didedahkan oleh media Korea menerusi segmen SBS News semalam (19 Disember).
Menurut SBS News, kehadiran Jonghyun ke kedai serbaneka itu adalah beberapa jam sebelum dia ditemui tidak sedarkan diri dalam sebuah apartmen.
Kedai serbaneka itu terletak di lokasi yang sama dengan apartment yang disewanya selama dua hari.
SBS News juga turut melaporkan Jonghyun hadir ke kedai tersebut selepas menghantar kiriman mesej bunuh diri kepada kakaknya, Kim So Dam.
Dalam pada itu, menurut pemilik kedai itu, Jonghyun yang memakai pakaian serba hitam hanya membeli beberapa barangan seperti rokok, minuman dan makanan ringan.
Video CCTV itu juga turut merakamkan Jonghyun sedang tersenyum sambil membayar harga barangan yang dibeli.
Sementara itu, pengawal keselamatan apartmen itu mendedahkan vokalis utama SHINee itu menunjukkan sikap pelik selepas meninggalkan kedai berkenaan.
“Selepas selesai meletakkan kenderaannya di tingkat B1, Jonghyun telah berdiri di hadapan kedai itu dengan agak lama.
“Selepas itu dia kemudiannya masuk ke dalam keretanya dan memandu ke arah jalan yang terletak berhampiran dengan apartmen tersebut.
“Dia telah memandu keretanya ke hulu ke hilir dijalan yang sama tanpa sebarang arah tujuan.
“Dia juga menekan pedal minyak dengan kuat sehingga memyebabkan enjin keretanya mengeluarkan bunyi yang sangat bingit.
“Tidak lama kemudian, semuanya kembali senyap dan Jonghyun kembali ke apartmen dan meletakkan keretanya di tempat parkir,” jelasnya.
Sumber: Allkpop/ Koreaboo
Video: SBS NEWS
Must-Watch Video