Pelakon kacak Syafiq Kyle, 27, berjaya merangkul tiga trofi menerusi kategori Fesyen MeleTOP, Bintang Filem MeleTOP dan Pelakon TV MeleTOP di Anugerah MeleTOP Era 2019 (AME2019) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.

Bertemu dengan bintang drama bersiri Tak Ada Cinta Sepertimu usai AME2019, pemilik nama penuh Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak ini gembira untuk peminatnya yang tak henti menyokong.

"Sejujurnya, saya tak sangka dapat meraih tiga trofi di malam AME2019. Namun begitu, saya menerimanya dengan berbesar hati kerana anugerah ini merupakan anugerah yang dipilih berdasarkan undian peminat.

"Sejujurnya, saya happy untuk kelab peminat saya dan semua penyokong yang tidak pernah berhenti mendukung kerjaya seni seorang insan yang bernama Syafiq Kyle," kata Syafiq.

Dalam pada itu, Syafiq tidak merasakan kemenangan tiga trofi ini sebagai satu cabaran untuk dia menonjolkan kelainan dalam lakonan.

"Bagi saya, menang atau tidak, saya harus mencipta kelainan dalam setiap karakter yang saya jayakan. Saya harus berusaha dan memberikan yang terbaik untuk semua peminat yang menyokong.

"Memang atau kalah, bukan menjadi alasan untuk saya memberikan prestasi lakonan paling berkualiti untuk setiap karakter," katanya lagi.

AME2019 dihoskan oleh Neelofa, Nabil Ahmad dan Jihan Musa itu telah berlangsung dengan meriah .

AME2019 menobatkan Khai Bahar dan Siti Nordiana sebagai pemenang Top Top MeleTOP Lelaki & Wanita pada edisi penganjuran kali ini.

Bertemakan Glam, AME 2019 bersiaran secara langsung pada jam 9.00 malam dan disiarkan di saluran Astro Ria (104), Astro Prima (105), Astro Ria HD (123) dan Maya HD (134).