Wanita yang mengalami masalah obesiti, Wani Comel mendedahkan kampung halamannya di Felda Sungai Retang, Pahang telah dinaiki air banjir.

Menerusi sebuah entri di Instagram (IG), Wani menunjukkan keadaan rumahnya dari luar yang dipenuhi dengan air.

"Assalamualaikum. Video ini rumah Wani ya. Saya ingin menjawab semua soalan dari netizen yang Direct Message (DM) saya bertanyakan tentang banjir di Pahang iaitu kampung saya.

"Ya betul kampung saya di Felda Sungai Retang turut dilanda banjir dan rumah saya telah dinaiki air," tulisnya.

Dalam pada itu, pemilik nama Nurul Airawani Nazira Ibrahim menyatakan ibunya sudah dipindahkan ke tempat selamat sejak dari awal lagi.

Wani turut memohon doa dari semua pihak agar negeri yang dilanda bencana itu akan kembali pulih seperti sedia kala.

"Untuk pengetahuan semua keluarga saya termasuk ibu saya dari awal telah pun dipindahkan ke tempat yang selamat. Tiada siapa di rumah saya ya.

"Saya harap semua rakyat Malaysia mendoakan seluruh kawasan di negeri yang terjejas gara-gara banjir agar cepat pulih dan semua dapat pulang ke rumah masing-masing," tulisnya lagi.

Selain Pahang, negeri Kelantan, Terengganu dan Perak juga menyaksikan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) terus meningkat berikutan hujan lebat berterusan.