Dalam usaha untuk lebih dekat dengan masyarakat setempat, stesen radio ZAYAN bakal menemui pendengar di beberapa bandar seluruh Malaysia dalam satu siri jelajah bagi kempen-kempennya yang akan berlangsung bermula bulan Ogos sehingga Oktober ini.

Bertujuan untuk menghibur serta meraikan para peminat, ZAYAN akan melancarkan dua acara lapangan – Jelajah C.U.D.I.P.T dan Bro Buskers, yang bakal menjelajah ke beberapa bandar sekitar Selangor, Kuantan dan Johor.

“Setelah hampir setahun beroperasi, tidak dinafikan bahawa pemacu utama kejayaan ZAYAN adalah sokongan dari para peminat kami. Justeru, kami rasakan inilah peluang terbaik untuk ZAYAN lebih mendekati dan berinteraksi bersama peminat setia kami.

“Kami amat berbesar hati untuk menjelajah ke beberapa lokasi sekitar Malaysia seperti Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam menerusi ‘Showcase C.U.D.I.P.T dan kami akan menjelajah ke Kuantan dan Johor dengan membawakan ‘BRO BUSKERS’ kepada peminat.

"Lebih menarik, siri penjelajahan ZAYAN bakal diwarnai dengan kehadiran selebriti-selebriti kegemaran ramai seperti Amira Othman, Kaka Azraf, Achey, Datin Alyah, Bahiyya Aneesa, Syed Iqmal (Dai Syed) dan Amir Hassan.

"Tidak ketinggalan dua orang yang prolific dengan tazkirah santai gaya Zayan, Dr Taha dan Abang Jay. Tidak lengkap kalau tidak adanya, kehadiran para penyampai radio ZAYAN seperti Mawi, Anas, Lin Ariffin, Raqib dan Falyq yang bakal memeriahkan lagi penjelajahan ini," kata Wan Syahrul Amry Wan Mansor, Pengurus Kandungan ZAYAN.

Jelajah Bro Buskers

Melalui kejayaan dari jelajah Bro Buskers yang diadakan pada awal tahun ini di sekitar Lembah Klang, ZAYAN kini ingin membawakan kempen kegemaran peminat ini ke beberapa negeri dalam Malaysia seperti Johor Bahru dan Kuantan.

Masih mengekalkan imej showcase ini, jelajah Bro Buskers bakal berkolaborasi bersama pemuzik jalanan tempatan untuk menghiburkan peminat yang datang dan mereka juga boleh memenangi barangan eksklusif Zayan serta bertemu penyampai radio ZAYAN seperti Mawi dan Anas.

Bro Buskers merupakan salah sebuah feature dalam segmen SALAM BROS (Breakfast Crew Zayan) yang merupakan kolaberasi Mawi, Anas, Raqib dan Oja (Pemuzik) di mana mereka busking secara spontan dengan lirik yang bermanfaat!

Jelajah Bro Buskers bakal menemui peminat bermula 29 September di Johor Bahru, dan pada 6 Oktober di Kuantan, Pahang dan turut bersama mereka, pemuzik jalanan di negeri berkenaan dan penampilan khas, Lan Solo.

C.U.D.I.P.T

Mengetahui bahawa sebahagian besar peminat-peminat ZAYAN adalah dari golongan belia, ZAYAN teruja untuk melancarkan kempen jelajah C.U.D.I.P.T (SEE YOU DI IPT) yang dijadualkan untuk bertemu dengan penuntut-penuntut dari kampus pengajian tinggi sekitar Lembah Klang.

Tandakan kalendar anda hari ini dan sertai jelajah C.U.D.I.P.T di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor pada 15 Ogos 2018 dan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 29 Ogos.

Jangan lepaskan peluang untuk menyertai aktiviti-aktiviti menarik, turut sama menyaksikan persembahan-persembahan yang bermanfaat dan peluang untuk memenangi hadiah-hadiah eksklusif bersama barisan penyampai radio ZAYAN seperti Mawi, Anas, Lin Ariffin, Raqib dan Falyq serta Abang Jay dan Pencetus Ummah Dr. Taha.

Selain itu, peminat juga bakal dihiburkan lagi dengan persembahan dari selebriti seperti Amira Othman, Kaka Azraf, Achey, Datin Alyah, Bahiyya Aneesa, Syed Iqmal (Dai Syed) dan Amir Hassan.

Bezanya showcase ZAYAN dengan yang lain adalah, di pertengahan showcase yang berunsurkan pengisian positif ini, kami bawakan tazkirah santai bersama Dr Taha dan Abang Jay.
Pengunjung yang hadir pada hari tersebut boleh menghantarkan soalan mereka dan berinteraksi dengan para penyampai Zayan.

Mawi Jawi

Selain daripada itu, para peminat juga boleh nantikan aktiviti menarik yang akan berjalan secara on-air dan dalam talian bertajuk Mawi Jawi yang bakal bermula pada 27 Ogos.
Mawi Jawi, permainan yang cukup popular di segmen pagi SALAM BROS bersama Mawi dan Anas, kini akan diketengahkan sebagai suatu cabaran untuk para peminat ZAYAN.

Peminat yang ingin mengambil bahagian dalam cabaran Mawi Jawi perlu meneka perkataan yang dieja dalam tulisan jawi untuk peluang memenangi sebahagian daripada wang tunai.

Gambar tulisan jawi yang harus diteka akan dimuatnaik ke laman media sosial Instagram ZAYAN, dan para peminat perlu menjadi pemanggil terpantas setelah isyarat memanggil ke udara dan perlu menekanya dengan tepat.

Untuk maklumat lanjut mengenai ZAYAN dan kempen-kempen yang akan dianjurkannya, sila layari https://zayan.my/ atau ikuti ZAYAN di laman media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter ZAYAN.