Raffi Ahmad memang cukup terkenal sebagai seorang hos yang mengacarakan pelbagai program hiburan di Indonesia.

Masuk ke industri hiburan republik tersebut sebagai pelakon pada tahun 2002, Raffi kemudian mencabar diri menjadi hos selepas ada salah seorang karyawan seni mengatakan dirinya akan merendahkan status ‘bintang’ dengan mengacara. Sementelah Raffi saat itu sudah popular dan menerima lamaran lumayan sebagai pelakon.

“Waktu bermula sebagai hos saya dibayar hanya sekitar RM2,000 namun saya ambil kerana mahu membuktikan saya tidak masuk ke dunia seni untuk menjadi bintang.

“Sebab bintang ada banyak dan akan redup. Tapi saya mahu menjadi langit sebab saya akan sentiasa ada sama ada malam atau siang,” katanya dalam satu temubual pada tahun 2021 lalu.

Namun kini ternyata harga bayaran untuk mendapatkan khidmat lelaki berusia 35 tahun cukup lumayan!

Jumlah bayaran itu dibongkar sendiri oleh suami Nagita Slavina tersebut. Kepada salah seorang rakan baiknya, Rudy Salim, dia mengaku menerima bayaran yang cukup besar untuk sekali mengemudi majlis.

“Jadi harga untuk mendapatkan anda untuk sekali hosting dengarnya RM100,000,” kata Rudy seperti dilaporkan InsertLive.

Pernyataan itu kemudian disambut Raffi dengan mengatakan jumlah atau harga tersebut kurang tepat.

“Jangan dikurangkan ya. Harga saya RM160,000.”

“Dan itu untuk 45 minit punya pekerjaan,” katanya lagi.

Kenyataan yang keluarkan ayah dua anak itu membuat banyak netizen terkejut kerana ia disifatkan sangat lumayan.

Meski demikian, mereka bersetuju harga RM160,000 itu berbaloi kerana Raffi selalu berjaya mengemudi acara dengan baik dan menarik ramai tetamu hadir.