Pengarah Mamat Khalid memaklumkan drama bersiri Kampong Pisang Bersiri-siri kali ini menampilkan hantu yang sama dalam karyanya terdahulu serta ada penambahan makhluk baru sebagai elemen penting pembikinan drama kali ini.

Menurut Mamat selaku pengarah Kampong Pisang Bersiri-siri, drama ini banyak memberikan elemen kejutan terutamanya hantu-hantu yang ditampilkan dalam setiap episod.

“Dalam siri Kampong Pisang ni ada banyak kejutan dan plot twist dia yang seronok dan lain daripada yang lain.

“Dari segi pemilihan hantu-hantu dalam Kampong Pisang ni, proses dia akan pergi balik pada hantu apa yang abang paling takut dan hantu apa yang paling lucu.

“Kalau ikutkan abang, memang toyol la hantu paling lucu. Dah la kecil tapi jahat dia lain macam. Atas unsur itulah yang buat abang pilih entiti apa yang akan muncul dalam siri ini,” kata Mamat menerusi temubual program TP Kampong Pisang Bersiri-siri.

Tambahnya lagi, selain hantu, dia turut menerapkan unsur entiti alien sebagai tambahan kepada siri Kampong Pisang ini.

“Hantu ni sama je, kerja mereka menakutkan orang. Dalam siri ini juga abang hasilkan alien. Alien ni yang paling lucu tambahan pula abang dapat pujuk dua pengarah Nasir Jani dan Faizal Chal untuk jadi alien, itu pada abang adalah satu keseronokan apabila berkarya.

“Dalam perkembangan drama ni pun, hantu-hantu ni pun adalah perkara yang kecil sahaja. Apa yang lebih besar adalah penduduk itu sendiri. Bagaimana mereka menangani masalah-masalah hantu ni, itu lebih utama,” ujarnya lagi.

Kampong Pisang Bersiri-siri menghimpunkan barisan watak komedi daripada francais terdahulu antaranya, Pak Jabit dan Husin daripada filem Zombi Kampung Pisang, Kak Limah (Hantu Kak Limah), Cik Purnama, Chomprak, Joko Anuar, Pembantu Perubatan (Hantu Kak Limah Balik Rumah) dan penampilan watak Barkoba daripada 16 dan 17 Puasa.

Malah, turut memperkenalkan watak sampingan baru seperti Pak Kasim, Pak Din ‘Pest Control’, Pak Karim dan Cik Chun.

Kampong Pisang Bersiri-Siri bakal menemui penonton mulai 7 Disember ini, setiap hari Isnin, jam 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108 (HD) / 128 (SD).