Tindakan pihak berkuasa Malaysia dalam mengurus dan membendung penularan jangkitan Koronavirus bukan hanya dipuji warga maya, malah seorang pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengiktiraf perkara berkenaan.

Menerusi laporan Astro Awani, wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura Dr Lo Ying-Ru berkata kerajaan negara ini cemerlang dalam melakukan siasatan kesnya selain telus berkongsi perkembangan terkini bukan hanya kepada WHO tetapi juga kepada orang ramai.

"Kami (WHO dan orang ramai) boleh melihat semua maklumat, dan maklumat itu dikeluarkan dengan pantas di media sosial serta laman sesawang kementerian kesihatan, jadi saya rasa mereka telah melakukannya dengan baik sekali.

"WHO juga sentiasa berhubung dan berkongsi maklumat dengan pihak berkuasa Malaysia, seperti garis panduan terkini. Mereka meminta garis panduan dalam menangani koronavirus dan menggunakannya," katanya.

Tambah Dr Lo, rakyat Malaysia yang mengalami gejala penyakit pernafasan seperti batuk, bersin atau sesak nafas dinasihatkan supaya segera mendapatkan nasihat perubatan.

"Tetapi saya rasa apa yang lebih penting adalah untuk mengingatkan semua orang bahawa mereka boleh melakukan sesuatu untuk mencegah jangkitan virus ini seperti mencuci tangan dan memakai topeng muka," katanya.

Terdahulu menerusi laporan terkini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan dua kes baharu koronavirus daripada rakyat Malaysia yang dibawa pulang semalam dari bandar Wuhan di China yang teruk dilanda wabak koronavirus.

Pengumuman terkini itu menjadikan kes terkumpul koronavirus di Malaysia ialah 12.

Sumber: Astro Awani