Perkongsian seorang pakar psikiatri berhubung kandungan tersirat yang dipaparkan dalam filem Joker di akaun Twitter miliknya telah menjadi perbualan ramai netizen sejak beberapa hari lalu.

Pandangan terhadap filem tersebut dikupas dengan teliti mengikut konteks perubatan.

Sehingga kini, posting pakar psikiatri dikenali sebagai Dr Zaid Rostam itu telah dikongsi sebanyak 1,838 kali dan menerima 1,937 likes.

Menurut Zaid, minit pertama menonton filem Joker telah membuatkan dia terdetik untuk keluar berikutan intensi emosi yang ditunjukan meninggalkan kesan terhadap dirinya.

Menurutnya, emosi yang dipaparkan bukan emosi biasa kerana ia mampu dirasai.

"Plot berkembang dengan sangat perlahan dengan intensiti emosi yang dinaikkan. Murung, terdesak, galau, keterpaksaan, tiada harapan, kesakitan, hilang rasa nikmat semuanya dicampur jadi satu.

"Delusi, halusinasi, realiti yang dicabar diadun dalam rentak yang mengelirukan," katanya.

Jelasnya lagi, adunan imbangan penyakit mental organik akibat trauma pada sistem otak, trauma penderaan, ibu yang bermasalah menghasilkan naratif yang perlu diikut dengan berhati-hati.

"Jika tidak, orang mudah salah faham begitulah orang kemurungan. Watak Arthur tidak sekadar kemurungan.

“Arthur ialah seorang antisosial yang mengalami masalah mental organik, yang berhadapan naratif stigma yang melampau, psikotik dan impulsif.

"Kita akan terbawa dengan naratif sakit mental sebahaya itu jika kita tidak tahu apa sebenarnya sakit ini," katanya.

Tambahnya lagi, Joker juga mengajak kita belajar beberapa simptom yang menjurus pada lima diagnosa ini.

"Antaranya adalah organic brain syndrome, major depressive disorder, antisocial personality disorder, narcisistic personality disorder dan delusion of love.

"Saya balik dengan otak yang penat. Kalau anda keluar wayang tak rasa penat tengok cerita ni maksudnya korang tak 'tengok' sebenarnya. Mungkin itu tujuan cerita ini dibuat," katanya.

Anda boleh lihat penjelasan penuh Dr Zaid di bawah:

Untuk rekod, Joker mengisarkan tentang Arthur Fleck ataupun Joker bekerja sebagai seorang badut yang menceriakan orang lain dan bercita-cita menjadi ‘stand-up comedian’ (pelawak pentas).

Malangnya tiada siapa yang mengambil serius tentang dirinya sehinggalah dia menjadi individu dikenali sebagai Joker.