Hilang punca pendapatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukanlah satu perkara yang mudah untuk dihadapi.

Namun, buat bekas pekerja pelantar minyak dan gas ini tiada istilah untuk dirinya putus asa dan patah semangat.

Malah, kerja sebagai 'runner' pun sudah memadai untuknya mencari rezeki halal.

Kisah Mohamad Izad Mohd Daud ini mula mendapat perhatian media sosial apabila memuat naik satu posting di Twitter memberitahu dia mempunyai khidmat penghantaran nasi popular Ipoh iaitu nasi 'ganja' atau vanggey di tepi lebuh raya.

Posting berkenaan kemudian viral terutamanya orang ramai yang tinggal di negeri lain yang teringin menikmati makanan popular tersebut.

Menurut Mohamad Izad, idea berkenaan tercetus apabila melihat kebanyakan tempat makanan menarik di Ipoh tidak dimasukkan ke dalam aplikasi penghantaran makanan.

"Niat saya buat job runner ni nak memudahkan urusan orang. Daripada beratur panjang, kesian jugak sebab saya lihat sendiri masa beratur nak beli nasi.

"Ada yang sampai dukung anak, dan ada juga yang pimpin anak berbaris sekali. Tambah lagi dengan musim COVID-19 ni kan? So risiko untuk anak2 kecil ni kena jangkitan virus tinggi," katanya.

Menurutnya lagi, untuk memudahkan pelanggan daripada negeri lain mengambil barang yang dibeli, dia akan menunggu di susur keluar terdekat.

"Selain itu saya akan tunggu di kawasan Rehat dan Rawat (R&R)seperti di Simpang Pulai dan Gopeng.

"Bagi yang lalu jalan dalam, saya tunggu di stesen minyak jalan persekutuan," katanya kepada Gempak.

Tambahnya, sehingga kini pelanggan paling jauh menggunakan perkhidmatannya adalah dari Perlis, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

"Kebanyakannya nak naik bercuti ke cameron highland, tapi tak mahir jalan ipoh. Ada yang nak kampung pulang beraya tapi kejar masa.

"Secara jujurnya saya buat bisnes ni sebab nak tolong orang, sebab ramai yang nak pakai runner tapi kekangan banyak.

"Alhamdulillah dari student yang nak tolong mak ayah di kampung,dan orang yang tak mampu pun saya boleh bantu.

"Beratur ambil ubat, belikan barang ke wad bersalin, dan hantarkan keperluan di wad. Saya lega bila customer saya happy, saya pun tak sangka sambutan sangat mesra dan semuanya baik-baik," katanya.

Pada warga Ipoh yang mahukan perkhidmatan Mohamad Izad bolehlah klik di sini.