Skip to main content

Berita Tempatan

#ThrowbackGempak2018: Suka & Duka Sukan Sepanjang Tahun

sukan-gempak.jpg
Setelah melalui pelbagai cerita suka dan duka sepanjang tahun 2018, arena sukan negara berjaya menunjukkan aksi yang menarik sepanjang tahun ini.
 
Kejayaan demi kejayaan diraih oleh atlet-atlet sukan negara kita dan tidak kurang juga kisah duka yang menimpa atlet negara.
 
Kenangan pahit dan manis pastinya akan terus terpahat di ingatan setiap yang terlibat.
 
Kalendar tahun ini dilihat amat padat dengan temasya antarabangsa dan kita dapat menyaksikan bahawa atlet-atlet negara berjaya membuktikan kejaguhan mereka di mata dunia.
 
Berikut merupakan rangkuman kisah suka dan duka sukan pada tahun 2018:
 

1) Hafizh Syahrin sah ke MotoGP
 
Hafizh Syahrin sah ke MotoGP itulah perkabaran gembira buat seluruh rakyat Malaysia apabila dia menjadi pelumba Malaysia pertama menyertai MotoGP untuk musim penuh tahun ini selepas menandatangani kontrak bersama Monster Yamaha Tech3 pada 21 Februari 2018.
 
Hafizh secara rasmi menyertai saingan MotoGP musim ini apabila ditandatangani oleh pasukan Monster Yamaha Tech 3. Pasukan berpangkalan di Perancis itu mengikat Hafizh untuk kontrak setahun sebagai pengganti Jonas Folger yang terpaksa melupakan saingan musim ini akibat masalah kesihatan.
 
Tech 3 turut menampilkan penunggang rookie terbaik MotoGP 2017, Johann Zarco dan antara pasukan bukan pengeluar terkuat dalam MotoGP.
 
Namun, Hafizh terpaksa akur di kedudukan kedua dengan mengumpul 46 mata secara keseluruhan selepas tidak mencukupi mata bagi mengatasi Franco Morbidelli yang mengumpul 50 mata secara keseluruhan untuk meraih anugerah Rookie (pendatang baharu) Terbaik.
 

2) Al Jufferi Tarik Diri, Menangis Dipujuk Syed Saddiq
 
Jaguh pencak silat negara, Mohd Al Jufferi Jamari meraih pingat perak selepas tewas dalam aksi final saingan Kelas E Putra penuh kontroversi di Padepokan Pencak Silat Taman Mini Indonesia Indah, di Sukan Asia 2018 pada 27 Ogos 2018 .
 
Mohd Al Jufferi yang merupakan juara dunia 2016 dan pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) disahkan tewas kepada pesilat Indonesia, Komang Harik Adi Putra setelah menarik diri berbaki dua saat sebelum aksi tamat.
 
Tindakan itu dibuat Al Jufferi selepas mendakwa aksi final yang disaksikan ribuan penyokong tuan rumah telah dicemari keputusan berat sebelah oleh juri yang mengadili perlawanan akhir tersebut.
 
Ternyata keputusan yang dilakukan oleh Al Jufferi mendapat pujian ramai dan video Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang cuba memujuk Al Jufferi menangis sambil meminta maaf menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia.
 

3) Sepak Takraw negara menamatkan kemarau pingat emas selama 24 tahun
 
Skuad sepak takraw negara menamatkan kemarau pingat emas selama 24 tahun, di Sukan Asia 2018 apabila berjaya memenangi pingat berharga itu melalui acara antara regu pada 28 Ogos 2018.
 
Dalam perlawanan di Ranau Hall, Bandar Sukan Jakabaring di Palembang, regu negara yang diwakili oleh Muhammad Zulkifli Abd Razak, Farhan Adam, dan Mohamad Azlan Alias berjaya menewaskan regu Indonesia.
 
Walaupun berdepan sorakan ribuan penyokong tuan rumah yang membanjiri Ranau Hall, Bandar Sukan Jakabaring, skuad negara ternyata mampu menguasai emosi untuk mempamerkan aksi bertenaga sebaik perlawanan bermula.
 

4) Lee Chong Wei Menghidap Kanser Hidung
 
Peminat sukan badminton menerima perkabaran duka apabila mendapat tahu Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menghidap kanser hidung tahap pertama selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengeluarkan kenyataan rasmi pada 22 September 2018.
 
Akibat daripada penyakit yang dihadapinya itu, Chong Wei telah menjalani rawatan selama dua bulan di Taiwan.
 
Masalah kesihatan pemain berusia 36 tahun itu mula menjadi perhatian ramai selepas beliau menarik diri daripada Kejohanan Dunia di Nanjing, China dan Sukan Asia di Jakarta-Palembang 2018.
 
Lee Chong Wei bakal kembali semula ke gelanggang pada acara sulungnya selepas berehat panjang di terbuka England pada bulan Mac depan.
 
Sepanjang kariernya dalam badminton, Chong Wei meraih tiga kali pingat perak Sukan Olimpik pada 2008, 2012, 2016 dan tiga kali muncul naib juara Kejohanan Dunia (2011, 2013, 2015).
 

5) Ridzuan Puzi dan Latiff Romly Pecah Rekod Dunia
 
Nama Malaysia cemerlang di acara Sukan Para Asia 2018 apabila dua atlet negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Abdul Latif Romly mencatatkan aksi cemerlang dengan mencipta rekod baharu dunia dalam acara masing-masing pada 9 Oktober 2018.
 
Berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno pada malam semalam, Ridzuan merekodkan masa 11.87 saat dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy) sekali gus membenam rekod terdahulu 11.90 saat yang dicipta atlet Rusia, Evgenii Shvetcov pada Kejohanan Paralimpik Dunia IPC di Lyon, Perancis pada 2013.
 
Abdul Latif pula cemerlang memperbaharui rekod dunia dalam acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran). Lompatan terbaharu ini memadamkan  rekod terdahulu miliknya, 7.60 meter yang dilakar pada Sukan Paralimpik Rio 2016 di Brazil.
 

6) Malaysia juara dalam Kejohanan Dunia Dodgeball
 
Pasukan Lelaki Dodgeball Malaysia muncul juara dunia dalam Kejohanan Dunia Dodgeball yang berlangsung di LA Hangar Studios, Los Angeles, Amerika Syarikat. Skuad ini yang juga penyandang juara berjaya menewaskan pasukan tuan rumah iaitu Amerika Syarikat dengan mata 5-4 dalam aksi final pada 14 Oktober 2018 .
 
Sebelum ini, skuad kebangsaan muncul juara buat kali pertama sejak penubuhan Kejohanan Dunia Dodgeball tujuh tahun lalu. Kedua-dua pasukan Lelaki dan Wanita negara mendapat pingat emas dengan mengalahkan Kanada pada final di Kejohanan Dunia Dodgeball di Toronto, Kanada pada tahun lepas (2017).
 

7) Bowling: Rafiq Ismail Tamatkan Kemarau 39 Tahun
 
Pemain tenpin bowling negara, Rafiq Ismail menamatkan kemarau 39 tahun apabila berjaya membawa pulang pingat emas dalam acara perseorangan di Kejohanan Bowling Dunia Lelaki di Hong Kong pada 1 Disember 2018.
 
Pemain berusia 21 tahun itu menewaskan pemenang pingat emas 2014, Dan Mac Lelland dari Kanada dengan 217-204.
 
Kali terakhir Malaysia menang pingat emas dalam kategori lelaki dalam kejohanan itu ialah pada tahun 1979 di Manila, menerusi gandingan trio J.B Koo, Allan Hooi dan Edward Lim.
 

8) AFF Suzuki 2018, Harimau Malaya Naib Juara
 
Walaupun gagal untuk membawa pulang Piala AFF Suzuki 2018 ke tanah air namun semangat yang ditunjukkan oleh pemain Malaysia sememangnya harus dipuji.
 
Kejayaan pasukan bola sepak Harimau Malaya yang muncul naib juara kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 ini membuktikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe ini masih digeruni oleh pihak lawan.
 
Ternyata sukan bola sepak ini amat diminati oleh seluruh rakyat Malaysia apabila kesemua 80,000 keping tiket perlawanan yang diperuntukkan, habis dijual bagaikan goreng pisang panas.
 
Kempen Piala AFF Suzuki 2018 kali ini menyaksikan Vietnam muncul juara apabila menundukkan Malaysia dengan agregat 3-2 dalam aksi final yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 11 Disember dan Hanoi pada 15 Disember 2018.
 

9) Mohd Hafiz Nor Azman Meninggal Dunia
 
Seorang pelumba Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018, Mohd Hafiz Nor Azman maut selepas dipercayai terbabit dalam kemalangan ketika perlumbaan di Bandar Penawar, Kota Tinggi, pada 16 Disember 2018.
 
Pemergian Mohd Hafiz itu disahkan Malaysian Cub Prix yang memuat naik gambar pelumba muda berusia 22 tahun itu menerusi laman rasmi Facebook mereka.
 
Terdahulu, khabar angin mengenai pemergian Allahyarham beserta video berdurasi 42 saat yang dipercayai menunjukkan detik-detik akhir sebelum terjadi kemalangan menjadi tular di laman sosial Facebook.
 
Allahyarham terbabit dalam kemalangan itu sewaktu menyertai perlumbaan akhir kategori CP150.
 
Mohd Hafiz merupakan anak kepada bekas pelumba, Nor Azman Mad Darus.
 

10) Azizulhasni Awang Raih Tempat Kedua di Union Cycliste International
 
Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang mendapat rangsangan terbaik dalam usaha beliau melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas naik dua lagi anak tangga ke ranking kedua dunia bagi acara keirin pada 18 Disember 2018.
 
Ternyata kejayan demi kejayaan yang diperoleh Azizul ini melayakkan dia meletakkan dirinya di kedudukan kedua Union Cycliste International (UCI) World Ranking untuk kategori Keirin Lelaki.
 
Sebelum ini, Azizul pernah menakluk dunia apabila menamatkan penantian 10 tahun dengan menjuarai acara keirin di Kejohanan Dunia di Hong Kong, April tahun lalu, sekali gus memenangi Jersi Pelangi gagal digugat lima pencabar lain.
 
Semoga kejayaan yang diraih oleh atlet-atlet kita akan membakar semangat atlet generasi muda untuk terus berusaha mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.
 
Tahniah diucapkan pada semua. Semoga terus mengharumkan nama Malaysia pada tahun yang akan datang. MALAYSIA BOLEH!!!
 
 

Advertisement

Must-Watch Video