Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan bahawa kekurangan kaunter untuk proses pemakaian peranti pengesanan digital punca kira-kira 500 jemaah umrah terpaksa menunggu lebih lima jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ujar beliau, selepas melihat perkara tersebut, beliau membuat keputusan untuk mengeluarkan jemaah tersebut dan mewajibkan mereka memakai gelang pink.

“Dan saya telah maklumkan sehingga syarikat yang mengendalikan (peranti pengesanan digitial) tidak dapat buat (kaunter) dengan cepat, kita masih lagi akan guna gelang pink.

“Tetapi saya difahamkan mereka akan tambahkan kaunter, jadi tidak akan ada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program wawancara khas melalui siaran di Facebook Umno Online pada Khamis.

BACA: Letih, Lapar! 500 Jemaah Pulang Dari Umrah Mengamuk, Lima Jam Terkandas Di KLIA

Pada Rabu, media melaporkan satu video tular melibatkan jemaah umrah yang baru pulang dari Arab Saudi tidak berpuas hati apabila terpaksa menunggu lebih lima jam di KLIA.

Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin berkata, pemakaian peranti pengesanan digital kepada jemaah yang pulang daripada Arab Saudi itu amat penting kerana kebanyakkan kes Covid-19 di negara ini yang melibatkan varian Omicron adalah daripada Mekah.

Justeru itu, menurutnya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terpaksa mengambil langkah berhati-hati bagi memastikan kes Covid-19 varian Omicron di negara ini tidak meningkat.

Sumber: Sinar Harian