Program masakan penuh inspirasi, Sedapur Bersama Tok Ram yang menampilkan maestro muzik terkenal, Datuk Ramli MS akan memasuki episod keenam malam esok.

Menariknya, episod kali ini akan menampilkan juara Gegar Vaganza musim keenam, Hadi Mirza yang akan memasak hidangan sotong masak hitam bersama Tok Ram.

Ketika sibuk memasak di dapur, Hadi dan Tok Ram berbual mengenai persahabatan yang terjalin antara ibu mereka. Kedua-duanya sudah lama berkawan kerana pernah tinggal sekampung. Mereka kembali bertemu selepas lebih kurang 50 tahun apabila ibu Hadi datang ke Gegar Vaganza.

Dalam pada itu, Tok Ram memasak makanan yang popular di kampungnya di Singapura dan mengimbas kenangan bertukar juadah bersama jiran-jiran di sana.

Sambil memasak, Tok Ram memberi nasihat tentang kepentingan bersikap pemurah dengan orang lain dan amalan sedekah serta zakat.

Tidak ketinggalan, apabila ditanya tentang rahsia kekal 'fit' pada usia sekarang, Tok Ram mengatakan dia hanya makan dua sudu besar nasi ketika perlu dan hanya akan tambah jika masih berasa lapar.

Nak tahu lebih lagi? Jangan lupa saksikan Sedapur Bersama Tok Ram malam esok!

Program ini ditayangkan pada setiap Khamis, pukul 9.00 malam di NAURA (saluran 109).