Sukar untuk diterima, namun itulah yang terjadi apabila terdapat sindiket menjual dokumen ujian saringan COVID-19 palsu.

Ketika orang ramai menderita dan terkesan dengan pandemik ini, ada pula yang sanggup mengaut keuntungan 'atas angin'.

Menerusi laporan Sinar Harian, sindiket yang dipercayai aktif menjual dokumen ujian saringan palsu dalam tiga serbuan di sekitar daerah ini dan Klang sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, ujian berkenaan dijual harga RM120.

"Dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Taman Sri Muda, Shah Alam kira-kira jam 6.30 petang kelmarin, polis berjaya menahan seorang lelaki.

"Suspek yang bekerja sebagai pemandu teksi dipercayai berperanan sebagai runner untuk mencari pelanggan warga asing atau majikan yang menggajikan warga asing bagi dengan menawarkan dokumen palsu terbabit," katanya.

Tambahnya, siasatan tidak terhenti di situ dan polis kemudiannya berjaya menyerbu sebuah lagi rumah di Klang kira-kira jam 9 malam pada hari yang sama dan 3 petang semalam.

"Polis turut rampas dokumen makmal ujian saringan Covid-19, peralatan komputer, mesin pencetak serta telefon bimbit.

"Sindiket terbabit dipercayai aktif di sekitar daerah ini sejak dua bulan lalu ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menjual dokumen berkenaan dengan harga RM120 sekeping," katanya.