Pelakon jelita Zahirah Macwilson meluahkan penghargaannya kepada golongan ibu yang bekerja dan terpaksa meninggalkan anak mereka di rumah demi mencari rezeki.

Menerusi ruangan Instagram Story (IG Story), Zahirah dipuji oleh seorang pengikut berikutan tindakannya membawa anak, Isaac Raees yang kini berusia tiga bulan meskipun keluar bekerja.

Menurut pelakon filem Bulan Dan Pria Terhebat itu, dia berasa bertuah apabila berpeluang membawa anaknya bersama ketika keluar bekerja.

Difahamkan Zahirah menjadi tetamu istimewa dalam sebuah acara berbuka puasa anjuran pereka fesyen terkenal pada Rabu.

“Alhamdulillah saya beruntung dapat membawa anak lelaki saya bersama-sama ketika bekerja, tetapi tidak semua ibu ada peluang itu.

“Kalau tinggal anak tak bermakna kita tak sayang baby. Ada ibu yang tiada pilihan dan terpaksa berkorban demi mencari rezeki untuk keluarga.

“Kita harus menghargai dan menyokong semua ibu yang bekerja di luar sana untuk masa dan pengorbanan mereka,” tulis Zahirah.

Malah Zahirah turut meluahkan peranan seorang ibu bukan sahaja perlu berkorban dari segi kerja tetapi juga turut melibatkan sudut fizikal dan mental.

Imbas kembali, Zahirah berkahwin dengan suaminya aktor Aiman Hakim Ridza pada 20 Februari 2020 dalam sebuah majlis tertutup di Petaling Jaya.

Pasangan itu menyambut kelahiran bayi sulung mereka di Perth, Australia pada 5 Januari lalu.