Ekoran pertambahan kes jangkitan harian, bekas pelakon, Zul Yahya mencadangkan agar masjid dijadikan pusat kuarantin pesakit COVID-19.

Jelas Zul, lokasi terbabit dirasakan tepat bagi mengimarahkan dan menghidupkan amalan di masjid selama 24 jam.

"Kenapa tak dikorintinkan umat Islam positif c19 (COVID-19) gejala ringan di masjid-masjid, bukankah itu lebih baik, mereka dapat hidupkan amalan-amalan masjid 24 jam dan masjid pun tak sepi.

"Kenapa tak digunakan peluang ini untuk hidupkan solat fardu di masjid-masjid menjadi suasana yang sangat luar biasa seperti solat jumaat.

"Lebih banyak manfaat, mungkin boleh menambahkan kebaikannya pada mereka dan kita semua," tulisnya di Facebook.



Tambah Zul, pihaknya sudi berkhidmat untuk menguruskan pesakit yang dikuarantin di masjid.

"Fungsi masjid itu sangat luas buat kita semua kita nak dapatkan bantuan Allah S.W.T tapi rumah-rumah Allah tidak diimarahkan.

"Ada cara Allah bagi tapi kenapa tak diusahakan ujian ini adalah hikmah buat kita bukannya musibah
untuk khidmat.

"Saya serta sahabat-sahabat sedia bagi masa dan nak menguruskan manusia-manusia yang berada di masjid,.

"Itu lebih mudah, ada masjid-masjid yang luas mampu meletakkan jemaah beratus-ratus orang yang paling memgembirakan solat fardu sentiasa penuh seperti solat jumaat," katanya.

Hal yang sama pernah disuarakan Zul pada tahun lalu namun cadangannya itu tidak diendahkan.

"Tahun lepas saya dah suarakan perkara ini tapi takda yang berfikir bagaimana ianya boleh dilaksanakan.

"Nak seribu daya tak nak seribu dalih. Para ulama yang dimuliakan lagi dikasihi seluruh alam dan yang mulia para sahabat mohon panjangkan perkara ini," tambahnya yang turut meletakkan tanda pagar #MuhyiddinYassin, #KKM dan #meteriagama.