Shell Malaysia turut menzahirkan sokongan dan penghargaan mereka kepada pasukan barisan hadapan Covid-19 dengan menghulurkan sumbangan kelengkapan seperti hand sanitizer, air mineral, makanan dan minuman.

Barangan berkenaan disumbangkan kepada Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.



Pada masa sama, barangan keperluan turut diagihkan di stesen Shell di seluruh negara untuk kegunaan komuniti dan barisan hadapan berdekatan. Barangan lain adalah sumber elektrik seperti lampu dan kipas untuk khemah-khemah sementara yang menempatkan pihak berkuasa.

Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd Shairan Huzani Husain berkata, Shell komited dalam menjaga hal ehwal komuniti dimana pihaknya mencuba segala yang termampu untuk membantu pihak barisan hadapan melawan pandemik global ini.



“Kami juga mempunyai barisan hadapan kami sendiri yang mana setiap hari menjaga keperluan pelanggan kami, serta memastikan wira-wira kita dapat pergi ke tempat kerja dan melakukan tugas seharian mereka untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Shell dan BonusLink pada 2 hingga 7 April telah menyumbang mata ganjaran terkumpul kepada tabung Covid-19 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dimana RM1 disumbangkan dari setiap 100 mata semasa tempoh berkenaan.