Ini adalah model pertama Ducati dan Lego yang menampilkan ciri kotak gear 2-kelajuan untuk mengaktifkan enjin V4 dan turut tersedia suspensi depan serta belakang untuk stimulasi tunggangan acah GP rider.

Jika anda bosan waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini bolehlah dapatkan Lego Technic Ducati Panigale V4 R yang berukuran 32cm (panjang), 16cm (tinggi) dan 8cm (lebar).



Lebih menarik produk berkenaan adalah model motosikal pertama dalam sejarah Lego Technic yang menampilkan kotak gear untuk stimulasi gear berbeza dan teknik tunggangn.

Ciri menarik lain termasuklah hendal dan suspensi yang menawarkan pergerakan realistik, selain brek cakera depan dan belakang. Tongkat belakang, paip ekzos, cermin depan dan papan pemuka adalah perincian yang menjadikan motor ini begitu mirip pada versi sebenarnya.



Pereka Kanan Lego Technic, Aurélien Rouffiange berkata Ducati Panigale V4 R adalah ikon yang elegan dan penting untuk memasukkan seberapa banyak butiran dan ciri yang boleh untuk menyerlahkan semua lekuk dan reka bentuk unik ikon itu.

“Pertama kalinya untuk menghasilkan kotak gear dan hendal yang berfungsi serta mesin silinder V4 yang berputar. Bagi saya menunggang adalah tentang sensasi yang anda rasakan antara hubungan motosikal dan jalan raya.



“Kami harap dengan membina model Lego Technic Panigale V4 R memberikan anda kegembiraan yang sama. Bukan hanya pengalaman bermain, tetapi juga cara untuk belajar mengenai mekanikal, kuasa dan teknologi. Permulaan perjalanan yang panjang dengan banyak keseronokan,” katanya.

Lego Technic Ducati Panigale V4 R merangkumi 646 kepingan blok yang direka untuk peminat 10 tahun ke atas itu tersedia di wakil jualan Ducati dan Lego menerusi Kedai Atas Talian Ducati dan Lego bermula 1 Jun pada harga Euro 59.99 (RM285).