Antarabangsa
Ferrari beri nama model baharu sempena nama ibu negara Itali
Ferrari secara rasminya memperkenalkan Roma, model coupe enjin V8 tengah-hadapan terbaru mereka yang dinamakan bersempena dengan ibu negara Itali iaitu Rom.
Direka berdasarkan inspirasi daripada era 50-an dan 60-an, Roma tampil dengan bentuk badan klasik menerusi bonet yang panjang dan bahagian belakang yang pendek.
Ini dipadankan dengan sentuhan moden seperti bentuk lampu yang tajam dengan lampu nyalaan siang di tengah-tengah dan pemegang pintu yang tersembunyi.
Di belakang, penampilan model ini lebih ringkas dengan kehadiran lampu brek yang nipis serta diffuser yang menempatkan empat muncung ekzos.
Masuk ke bahagian dalam, pemandu dan penumpang dipisahkan oleh binaan konsol tengah yang tinggi. Di sini, terdapat skrin sistem infotainmen yang didatangkan dalam format potret serta butang untuk kawalan gear.
Bukan itu sahaja, Ferrari turut meletakkan sebuah skrin pada papan pemuka bahagian penumpang. Jenama Prancing Horse itu menyatakan bahawa Roma merupakan model “2+” tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ia mempunyai kerusi belakang ataupun tidak.
Menggerakkan Roma adalah enjin 3.9-liter twin-turbo V8 yang turut digunakan pada model lain seperti Portofino dan F8 Tributo. Tetapi dalam model ini, enjin tersebut menjana 620PS dari 5,750 hingga 7,500 rpm dan 760Nm dari 3,000 hingga 5,750 rpm.
Dengan transmisi dwi-klac lapan kelajuan yang ‘dipinjam’ dari SF90 Stradale, jentera ini mampu melengkapkan pecutan 0-100km/j dalam 3.4 saat dan 0-200km/j dalam 9.3 saat, dengan kelajuan maksimum melebihi 320km/j.
Must-Watch Video