Hot Wheels bakal menawarkan dua produk kereta kawalan jauh baharu membabitkan model Tesla Cybertruck.

Produk pertama berskala 1:10 dengan gred hobi edisi terhad. Model kereta kawalan kedua bernisbah 1:64 iaitu cukup kecil hingga boleh dimuatkan di atas trek Hot Wheels.

Model kereta Tesla Cybertruck kawalan jauh berskala 1:10 berharga AS$400 (RM1,694) sudah habis dijual dalam sekelip mata menerusi pratempahan.

Namun, mereka yang masih berminat boleh sertai senarai menunggu dengan pendaftaran di www.mattelcreations.com.

Hot Wheels menyatakan Tesla Cybertruck 1:10 itu dilengkapi pacuan semua roda dan dua mode pemanduan iaitu Chill dan Sport. Malah ruang belakang kereta kawalan itu boleh dibuka.

Ia menggunakan bateri boleh cas semula 9.9 volt dan mampu mencapai skala kelajuan sehingga 402 kilometer sejam (kmj) (scale speed). Menariknya, lampu depan dan lampu brek boleh menyala.

Bagi mereka berbajet kecil, model Cybertruck skala 1:64 ialah pilihan sesuai, harganya cuma AS$20 (RM84.70) setiap satu.

Ia berukuran 76 milimeter panjang dan menggunakan sistem pacuan dua roda berserta mod Chill dan Sport. Ia mampu dikawal pemanduan pada kelajuan skala sehingga 805kmj.

Penghantaran kedua-dua kereta kawalan jauh itu akan bermula 15 Disember ini. Tesla Cybertruck sebenar dijadualkan memasuki barisan pengeluaran pada lewat tahun ini.