Prototaip Isuzu D-Max XTR diperkenalkan di Pameran Kenderaan Komersial 2019 dan menjadi model paling menarik bagi jenama berkenaan serta sesuai buat mereka yang gemarkan aktiviti off-road.

Namun pada tahun ini, Isuzu United Kingdom memperkenalkan versi D-Max XTR Colour Edition. Ia kini ditambah dengan pembaharuan warna pada kit badan serta lencana Isuzu hijau untuk memberi karakter lebih segar.



Kemasan warna itu boleh dilihat pada pelindung bampar dan bonet serta kerangka lampu utama yang mengikut warna badan. Ini kerana sebelum ini, kit badan tambahan XTR diwarnakan dengan kemasan warna hitam Raptor.

Selain itu, keliling lampu kabus dan jeriji masih kekal hitam seperti sebelum ini untuk memberi warna lebih kontras serta menarik.



Kit gerbang roda yang dilebarkan turut diwarnakan sama dengan warna badan serta dipadankan rim heavy-duty 17 inci dibaluti tayar Pirelli Scorpion All Terrain Plus. Kuasa hentian juga diperkuatkan dengan cakera berprestasi serta menggunakan pelapik brek seramik Kevlar di bahagian hadapan.

Selain itu, sistem suspensi asal ditukar dan dinaik taraf kepada jenama Pedders yang sesuai untuk pemanduan lasak atau off-road. Ia ditinggikan sehingga 250mm daripada permukaan tanah dan pada masa sama masih lagi memberi pengendalian yang stabil.

Pemijak kaki pada bahagian sisi sisi juga direka yang boleh mencegah kerosakan pada badan jentera sekiranya terkena batu. Ia dicat dengan warna hitam kasar yang tidak mudah tercalar.

Pada bahagian belakang pula, spoiler, kit yang mengelilingi lampu belakang dan bampar dikemaskan warna yang sama dengan badan. Cuma pemijak kaki belakang yang masih mengekalkan warna hitam.



Apa yang membezakan pada ruang dalaman pula, ia dilengkapi dengan kerusi sport dengan balutan kulit serta menerima kemasan jahitan hijau. Selain itu, logo XTR yang disulam boleh dilihat pada kerusi hadapan, manakala belakang pada perehat kepala.

Ia juga dilengkapi stereng berbentuk ‘D’ yang balutan kulit serta dijahit benang hijau untuk memberi keselesaan kepada pemandunya.



D-Max XTR Colour Edition ditawarkan dengan empat warna iaitu putih, perak, kelabu dan hitam yang mana setiapnya dikeluarkan dalam kuantiti terhad. Harga berhubung jentera itu akan diumumkan selepas pusat pameran dibuka akibat lockdown di United Kingdom.