Kehadiran bendasing seperti air di dalam tangki bahan api bukan sahaja boleh menjejaskan prestasi kenderaan. Malah lebih teruk lagi boleh menyebabkan kerosakan serius terhadap enjin jika tidak ditangani dengan segera.

Oleh itu, bagi mengelakkan berlakunya insiden yang boleh menjejaskan akaun bank atau dompet anda, adalah penting untuk mengenal pasti simptom-simptom yang disenaraikan ini:

Penggunaan bahan api semakin tinggi Air yang masuk ke dalam enjin akan menyebabkan pembakaran tidak sempurna, sekali gus menjejaskan prestasi dan tahap kecekapan enjin.

Prestasi pecutan terjejasJika anda perlu menekan pedal dengan lebih untuk mencapai kelajuan yang tertentu, ini menandakan bahawa pecutan kereta anda terjejas. Ini terjadi apabila air disuntik ke dalam enjin dan bukannya bahan api.

Enjin tiba-tiba mati Enjin mungkin beroperasi secara normal pada mulanya. Namun selepas beberapa minit, ia akan mati secara tiba-tiba kerana jumlah air yang mungkin terlalu banyak.

Enjin tidak dapat dihidupkanDalam senario yang lebih teruk, enjin mungkin tidak dapat dihidupkan langsung kerana omboh tidak dapat melengkapkan putarannya akibat kehadiran air di dalam silinder.

Selain itu, anda juga perlu mengetahui bagaimana air boleh masuk ke dalam tangki bahan api. Antara puncanya adalah pemeluwapan kelembapan atmosfera yang menyebabkan pengumpulan wap air di dalam tangki, penutup tangki tidak kemas serta pam bahan api yang rosak.

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil sekiranya terdapat air di dalam tangki bahan api kereta anda seperti:

Pertama - Anda boleh menggunakan ‘octane booster’ atau aditif dan methanol yang berfungsi untuk menyerap semua kelembapan di dalam tangki.

Kedua - Menyedut keluar minyak yang terjejas dan menggantikan dengan bahan api tinggi oktana secepat mungkin.

Ketiga - Jika anda kurang pasti tentang jumlah air yang terdapat di dalam tangki, bawa kereta ke bengkel untuk pemeriksaan professional.