Sementara menunggu kehadiran Defender generasi baharu, Land Rover memperkenalkan kit naik taraf (Upgrade Kit) untuk Defender 90 dan Defender 110 keluaran tahun 1994 hingga 2016.

Kit ini merangkumi pelbagai komponen yang dihasilkan khas untuk Defender, bermula dengan rim aloi ‘Sawtooth’ berukuran 18 inci yang dijual pada harga £2,160 (RM10,878) seset termasuk tayar ganti.



Bagi model 2007 ke atas, ia boleh dilengkapi dengan kit naik taraf suspensi yang merangkumi pegas gegelung baharu, penyerap hentak, ‘anti-roll bar’, ‘link’ serta sesendal. Kit ini boleh dimiliki pada harga £1,822 (RM9,176).

Turut ditawarkan adalah kit naik taraf pengendalian dengan harga £9,967 (RM50,196). Kit ini menambah cakera brek, pad brek dan angkup yang dihasilkan dengan spesifikasi yang sama seperti model Defender Works V8 yang diperkenalkan pada tahun lalu.



Bagi mereka yang memiliki model tahun 2012 ke atas dengan enjin 2.2 TDCi, Land Rover Classics turut menawarkan kit naik taraf prestasi enjin yang memberikan kuasa tambahan sebanyak 42PS, menjadikan kuasa keseluruhan sebanyak 162PS dan 463Nm. Ini secara tidak langsung meningkatkan kelajuan maksimum kepada 170km/j.

Pelanggan boleh membeli kit-kit terbabit secara individu atau sekali gus pada harga £16,995 (RM85,591).



Setiap pembelian didatangkan dengan lencana khas yang diletakkan pada dapra hadapan. Bukan itu sahaja, pelanggan juga akan mendapat sijil pemilikan dan lawatan ke kilang Land Rover Classics di Coventry, UK atau di Essen, Jerman, di mana kit ini dipasang.

Setiap komponen direka, diluluskan dan diuji mengikut piawaian pengeluaran Land Rover. Ia juga dilindungi oleh waranti aftermarket dan aksesori Land Rover, jadi pemilik tidak perlu risau tentang kualiti dan ketahanan komponen yang dijual.