Novitec mengumumkan McLaren 720S Spider sebagai model supercar terbaru yang boleh dipesan dengan kit badan N-Largo keluarannya. Jika anda pernah melihat kit N-Largo sebelum ini, anda boleh bayangkan imej yang diketengahkan oleh rekaan terbaru Novitec ini.

Terhad kepada 15 unit sahaja, kit badan tersebut memberikan 720S Spider badan yang lebih lebar dengan barisan komponen gentian karbon seperti dapra, gerbang roda dan skirt sisi.

Bagi melengkapan imej baharu jentera ini, Novitec turut menyertakan rim MC2 berukuran 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang, dengan padanan tayar Pirelli P Zero. Set gegelung sport mengurangkan jarak ketinggian dari tanah sebanyak 35mm untuk ‘stance’ yang lebih agresif.

Untuk ruang kabin, syarikat talaan terkenal itu menawarkan upholsteri kulit dan Alcantara yang boleh dipesan di dalam pelbagai jenis warna dengan perincian mengikut citarasa individu.

Pakej N-Largo ini tidak tertumpu pada aspek rekaan sahaja. Dengan modifikasi yang melibatkan unit kawalan enjin dan penggunaan sistem ekzos Inconel, enjin 4.0-liter twin-turbo V8 yang terletak di belakang ruang kabin itu kini menghamburkan 806hp dan 878Nm, menunjukkan peningkatan sebanyak 86hp dan 108Nm.

Dengan suntikan kuasa tersebut, 720S Spider talaan Novitec mampu melakukan pecutan 0-100km/j dalam hanya 2.7 saat.

Ia akan memecut sehingga 200km/j dalam 4.8 saat seterusnya sebelum mencapai kelajuan maksimum 346km/j.

Harga kit N-Largo ini tidak dinyatakan tetapi harus diingat bahawa jentera itu sahaja sudah berharga 237,000 pound (RM1.25 juta).