Selepas memperkenalkan Mazda3 Turbo pada Julai lalu, Mazda USA kini memperkenalkan pula CX-30 Turbo sebagai sebahagian daripada barisan model tahun 2021.

Seperti model hatchback itu, CX-30 Turbo dikuasakan oleh enjin turbo SkyActiv-G 2.5-liter empat silinder yang mampu menjana 250hp dan 434Nm dengan petrol premium oktana 93 atau 227hp dan 420Nm dengan petrol oktana 87.


Menurut Mazda, gabungan enjin turbo dan sistem pacuan semua roda i-Active dengan bantuan cengkaman off-road (Off-Road Traction Assist) membawa prestasi model ini ke satu tahap yang lebih tinggi.


CX-30 Turbo didatangkan dengan sistem keselamatan i-Activesense yang merangkumi Smart City Brake Support Reverse dengan Rear Cross-Traffic Braking, Traffic Jam Assist dan juga 360 View Monitor. Turut disertakan adalah Active Driving Display, Traffic Sign Recognition dan Adaptive Front-Light System.


Sesuai dengan enjinnya yang berprestasi tinggi, penampilan crossover ini turut diperhebatkan menerusi kehadiran rim aluminium aloi 18 inci berwarna hitam, muncung ekzso berkembar yang lebih besar, kemasan hitam berkilat pada cermin sisi dan lencana ‘Turbo’ pada bahagian Tailgate.


Ruang kabinnya pula menampilkan kemasan krom dan hitam pada papan pemuka, serta pelbagai kelengkapan standard seperti cermin pandang belakang tanpa bingkai, skrin sentuh infotainmen berukuran 8.8 inci, stereng multifungsi dan sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara. Sudah menjadi kebiasaan bagi model keluaran Mazda, susun atur bahagian dalaman CX-30 Turbo memfokuskan kepada pemandu.


Model ini akan memasuki pasaran menjelang akhir tahun ini. Harga dan spesifikasi akan diumumkan kemudian.