Suzuki Itali baru sahaja melancarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) edisi terhad, Vitara Katana di pasaran tempatan.

SUV itu dihasilkan sebagai tribute kepada model motosikal ikonik Suzuki. Hanya 100 unit Suzuki Vitara Katana akan dihasilkan sebelum diagihkan kepada pengedar di seluruh Itali.

Bagaimanapun, Vitara Katana cuma ditawarkan dengan pilihan enjin tiga silinder 1.0L Boosterjet Cool dengan transmisi manual.

Ia mampu menjana kuasa maksimum 112hp pada 5,500rpm dengan tork puncak 170Nm antara 2,000rpm hingga 3,500rpm.

Enjin turbo berkenaan dikatakan cekap penggunaan bahan api dengan kadar 5.4 liter minyak petrol bagi setiap 100 kilometer perjalanan.

Ada dua opsyen sistem pacuan iaitu sistem pacuan roda hadapan atau semua roda Suzuki All Grip Select.

Sebelum ini, ada beberapa laporan mendakwa Vitara Katana akan ditawarkan dengan enjin turbo 1.4L Boosterjet bersama sistem pacuan semua roda.

Suzuki Vitara Katana didatangkan dengan gril berwarna hitam, tidak seperti warna krom pada Vitara standard. Rim aloi SUV ini juga berwarna hitam.