Yamaha 15ZR atau lebih dikenali sebagai Yamaha Y Suku atau adalah motosikal yang 'menyengat' peminat jentera dua roda pada masa kini. Bentuk dan gaya dalam kondisi asal sudah cukup menawan apatah lagi jika diubah suai.

Selepas tular video yang dipercayai perlumbaan haram membabitkan dua motosikal jenama berkenaan dengan pertaruhan ratusan ribuan ringgit, tidak semena-mena melonjak naik nama jentera itu.

Pelbagai jenis dan bentuk modifikasi dihasilkan dan ada antaranya dikhaskan untuk prestasi kelajuan dan ada juga hanya pameran dalam pertandingan motosikal cantik sahaja.

Di Pulau Pinang, sebuah jentera hasil tangan bengkel Projek R tidak kurang hebatnya dengan modifikasi. Ia tidak hanya tertumpu pada sudut luaran, sebaliknya enjin juga menerima rombakan untuk melonjak lagi kuasa dan kelajuannya.

Jentera milik Muiz Adnan 25, dengan tema MX King sebenarnya tidak boleh dipandang ringan berikutan padanan pelbagai komponen dalaman enjin khas untuk tambah kelajuan pada tahap maksimum.

Apa yang sudah ditukar membabitkan blok sebesar 65mm dengan gabungan kepala silinder UMA Superhead Pro.

Dengan blok sebesar itu, ia sudah pasti meningkatkan kelajuan serta memberi prestasi lebih ringan berbanding standard.

Malah ada juga beberapa komponen lain yang digunakan seperti pendikit badan UMA Racing 45mm, Injector jenama sama dan rod 3mm bagi lebih prestasi serta kuasa jentera terbabit.

Menukar gear pula, ia menggunakan komponen Cardinal Racing untuk penukaran lebih sempurna dan sistem ekzos dibina khas untuk mengeluarkan sisa pembakaran tanpa sekatan serta lancar.

Bagi memastikan jentera ini lebih stabil pada kelajuan tinggi, pemiliknya terpaksa menukar penyerap hentak tunggal (monoshock) jenama Racing Boy (RCB) dengan padanan warna ungu.

Penampilannya tidak terlalu istimewa dan menonjol, tetapi agak menarik dengan penggunaan rim hitam Enkei baluran tayar 90/80 menjadikan jentera agak ringan. Malah ia kelihatan menarik selepas lengan ayun yang berkilat seakan-akan diperbuat daripada aluminium.

Biarpun jentera ini dicipta untuk kelajuan, ia hanya untuk kepuasan dan sekadar suka-suka serta tidak terbabit secara langsung dalam perlumbaan haram.

Bagi pemilik, dia lebih selesa menguji jentera di litar yang dikhaskan dan tidak mahu menanggung risiko berlumba di jalan biasa kerana terlalu bahaya untuk diri sendiri dan orang lain.