Seorang bangsawan British, Sir Benjamin Slade, 79, mengulangi usaha mencari isteri lebih muda yang mampu melahirkan pewaris lelaki dengan mengiklankan pencariannya itu lengkap bersama gaji tahunan dan perincian ditetapkan, menurut laporan The New York Post.
Slade adalah Baronet ketujuh Maunsel House dan mengumumkan pencariannya secara terbuka meskipun dekad-dekad sebelumnya tidak berjaya menerusi iklan surat khabar, profil janji temu atau dating dalam talian serta penampilan di televisyen.
Baronet adalah gelaran bangsawan dalam sistem bangsawan Inggeris, dengan statusnya di bawah baron tetapi di atas kesatria atau knight. Maunsel House pula sebuah rumah bersejarah di England yang dibina pada akhir abad ke-14 atau awal abad ke-15, diiktiraf sebagai bangunan warisan dengan kepentingan sejarah serta seni bina tinggi dan menjadi kediaman rasmi keluarga Slade sejak 1772.
Tujuan utama bangsawan berkenaan adalah untuk mendapatkan waris keturunannya dan pewarisan estet seluas kira-kira 526 hektar dan beliau menetapkan syarat yang luar biasa bagi sesiapa yang ingin menjadi isterinya.
Antara yang tidak dikehendaki adalah wanita berzodiak Scorpio, pembaca akhbar Guardian dan wanita dari negara yang bermula dengan huruf 'I' atau yang mempunyai warna hijau pada bendera kebangsaan mereka.
Calon dianggap mempunyai kelebihan adalah wanita yang memiliki lesen juruterbang helikopter atau latar belakang perundangan, manakala dianggap calon ideal mestilah tiga hingga empat dekad lebih muda, selain calon yang sudah mempunyai anak perempuan turut dipertimbangkan.
Calon isteri akan menerima 50,000 Pound Sterling (kira-kira RM274,000) setahun termasuk penginapan dan makanan, namun Slade berkata, beliau lebih suka calon yang mempunyai sumber kewangan sendiri.
Walaupun memiliki pegangan tanah yang luar biasa, bangsawan itu dilaporkan menghadapi isu kecairan kewangan dan sedang dalam perbincangan untuk menjual hartanah milik keluarganya sejak 1772 kepada pemilik rangkaian hotel mewah. Maunsel House secara tradisinya meraih pendapatan dengan beroperasi sebagai lokasi perkahwinan, tetapi perniagaan merosot mendadak semasa pandemik COVID-19.
Slade yang pencariannya untuk memiliki pewaris menarik perhatian seluruh dunia sejak 2008, menurut The Independent, menjelaskan dia juga memiliki sperma beku selama sembilan bulan yang disimpan sebagai persediaan sebelum mendapatkan pasangan sesuai.
Beliau mempunyai seorang anak perempuan dilahirkan pada 2021 hasil kaedah persenyawaan in vitro (IVF) dengan penyair Amerika, Sahara Sunday Spain, tetapi kemudian membatalkan dua majlis perkahwinan yang dirancang dengan wanita itu, menurut The New York Post.
Slade pernah berkahwin dengan Pauline Myburgh, tetapi bercerai pada 1991 tanpa mempunyai anak dan beliau mendakwa ketika itu bahawa 17 kucing wanita berkenaan terlalu banyak untuk dikongsi.
Sumber: Berita Harian