Sekilas
- Algorithmic Organisms 2.0 adalah pameran seni AI imersif pertama di Malaysia yang berlangsung di The Grey Box, GMBB Kuala Lumpur sehingga 19 Julai.
- Pameran ini menampilkan karya seniman audiovisual antarabangsa, 0010x0010 (Ray Tijssen), dengan pengalaman interaktif yang membolehkan pengunjung menjadi sebahagian daripada karya seni.
- Tiket bermula dari RM34 dan terdapat sesi masterclass eksklusif bersama pencipta pameran, sesuai untuk pencinta seni dan content creator yang mencari port OOTD unik.
Jika anda sedang mencari aktiviti hujung minggu yang berbeza daripada kebiasaan, Algorithmic Organisms 2.0 mungkin boleh dimasukkan dalam senarai.
Berlangsung di The Grey Box, GMBB Kuala Lumpur sehingga 19 Julai, pameran ini menggabungkan seni, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi audiovisual dalam satu pengalaman yang jarang ditemui di Malaysia.

Berikut enam sebab kenapa anda patut singgah.
1. Pameran seni AI imersif pertama di Malaysia
Berbeza dengan galeri seni biasa, pameran ini membawa pengunjung memasuki ruang yang dipenuhi visual janaan AI, bunyi imersif dan hidupan digital yang sentiasa berubah mengikut masa. Setiap langkah memberikan pengalaman yang berbeza.
Ketua Pegawai Eksekutif Jazzy Group of Companies, Joanne Goh berkata, pameran itu bukan sekadar ruang untuk melihat karya seni, sebaliknya mengajak pengunjung menjadi sebahagian daripada pengalaman yang dicipta.
"Lebih daripada sebuah pameran konvensional, ia mengajak pengunjung melangkah ke dalam sebuah persekitaran audiovisual yang hidup, di mana imejan yang dijana oleh AI, bunyi imersif dan hidupan digital sentiasa berubah serta berkembang dalam masa nyata.
"Ia mencabar cara kita menikmati seni, bukan lagi sebagai pemerhati pasif, tetapi sebagai sebahagian daripada karya itu sendiri," katanya.
2. Hasil karya seniman bertaraf antarabangsa
Pameran ini menampilkan karya 0010x0010 (Ray Tijssen), seniman audiovisual dari Belanda yang terkenal dengan instalasi visual berasaskan AI dan pengalaman multimedia di pelbagai negara.
Menurut Joanne, penganjuran pameran itu juga membuka ruang kepada masyarakat melihat bagaimana seni dan teknologi boleh bergerak seiring.
"Kami mahu membawa pengalaman kreatif bertaraf antarabangsa ke Malaysia, di samping membuka ruang perbincangan mengenai hubungan antara seni, teknologi dan budaya," katanya.

3. Bukan sekadar tengok, anda jadi sebahagian daripada karya
Menurut penganjur, pengalaman ini direka supaya pengunjung bukan hanya melihat karya dari jauh, sebaliknya merasai sendiri bagaimana visual, bunyi dan ruang saling berinteraksi sepanjang berada di dalam pameran.

4. Ada sesi eksklusif bersama pencipta pameran
Selain pameran, Ray Tijssen turut mengendalikan Machine Vision & Human Expression, sebuah sesi masterclass di Balai Seni Negara yang memberi peluang kepada pengunjung mendalami hubungan antara seni, AI dan kreativiti.

5. Tiket bermula serendah RM34
Pameran berlangsung dari 4 hingga 19 Julai di The Grey Box, GMBB Kuala Lumpur. Harga tiket bermula RM34 untuk pelajar dan RM49 bagi kemasukan standard.
6. Port OOTD Baharu Untuk Content Creator
Dengan gabungan visual futuristik, pencahayaan dinamik dan instalasi digital yang sentiasa berubah, hampir setiap sudut pameran ini sesuai dijadikan latar belakang foto atau video untuk Instagram, TikTok dan Threads. (Pastikan mengikut peraturan fotografi yang ditetapkan pihak penganjur.)
