Datuk Remy Ishak adalah satu nama yang cukup disegani dalam dunia seni tanah air. Pengiktirafan demi pengiktirafan telah diperoleh dan bersilih ganti watak dijayakan dengan cukup cemerlang.
Aktor berusia 43 tahun itu mengaku dirinya mencuri tumpuan peminat dengan cara yang konvensional - hasil kerja, bukan dikenali secara meluas melalui platform media sosial yang menjadi sandaran kebanyakan selebriti masa kini.
Advertisement
Bintang yang bakal muncul dengan filem Qifarah dan akan memulakan penggambaran naskhah horror berjudul Khadam ini mengakui medi sosial tidak memberi maksud yang besar dalam kehidupannya.
“Saya sebenarnya sudah bertahun-tahun hanya ada 1.6 juta pengikut di Instagram. Sudah lama tidak ada perubahan. Jadi saya tidak percaya.
“Jadi saya pegang bahawa media sosial bukan sebab saya kekal relevan tetapi kerana apa yang telah saya berikan (hasil lakonan), tanggungjawab yang sepenuhnya (sebagai pelaku seni),” ujar Remy sewaktu ditemui di LYF Hotel Chinatown, Kuala Lumpur.
Remy kemudian mengulas ringkas. Dirinya bukan seorang pengguna media sosial yang tegar dan ‘hidup’ berpaksikan jumlah pengikut atau ‘likes’ yang diperoleh.
Pada hemat Remy, pengikut di media sosial boleh dibeli dan apa yang dimahukan seseorang pengguna adalah lebih kepada kepuasan peribadi.
“Sesiapapun boleh beli pengikut dan ada pengikut yang ramai mungkin hanya satu kepuasan peribadi.
“Sementara saya pula, secara peribadi Alhamdulillah, tanpa media sosial juga boleh dikenali oleh budak-budak, gadis-gadis, akak-akak, atuk-atuk semua kenal saya. Jadi media sosial media tak bermaksud apa-apa buat saya,” katanya.