Sekilas
- Filem Malam Terlarang yang mengangkat tema mistik dan ritual Nusantara telah mencatat kutipan RM7 juta sejak tayangan 30 Oktober dan mendapat sambutan hangat penonton.
- Pelbagai kes jenayah tragis di dunia nyata berkaitan ilmu hitam dan kuasa ghaib termasuk pembunuhan berasaskan cemburu, tuduhan ilmu hitam, dan ritual sihir yang mengorbankan nyawa.
- Kes-kes terkenal seperti pembunuhan bersiri Ahmad Suradji dan dukun pengganda wang Slamet Tohari menunjukkan bagaimana kepercayaan karut masih memberi impak negatif kepada masyarakat moden.
Ditayangkan sejak 30 Oktober dan telah mencetak kutipan RM7 juta, filem Malam Terlarang menjadi pilihan penonton kerana mempunyai aura mistik, kuasa ghaib dan dendam lama yang membara.
Jika anda hanya mampu menonton kisah mistik atau ilmu hitam di layar lebar, tapi tahukah anda bahawa dalam dunia nyata, pelbagai kisah tragis pernah mengejutkan dunia saban waktu?
Kepercayaan terhadap ilmu hitam, ritual ghaib dan kuasa mistik juga menjadi punca kepada pelbagai tragedi di seluruh dunia.
Deretan insiden ini membuktikan bagaimana kepercayaan karut yang berakar umbi dalam masyarakat masih mampu mencetuskan jenayah ngeri, mengorbankan nyawa dan menggugat keselamatan komuniti moden.
1. Warga emas cemburu bunuh kekasih, sorok patung bawah katil kawal roh
Seorang lelaki warga emas di Thailand, Suwat Nin-opa, yang obses dengan ilmu hitam ditahan selepas mengaku membunuh teman wanitanya, Duangkae Khunthongpetch, seorang pengarah sekolah, kerana cemburu melihat wanita itu berhubung dengan lelaki lain di media sosial.
Dalam kejadian pada Januari 2015 di Hat Yai, mangsa dipukul dengan papan gosok baju dan dicekik menggunakan penyangkut sehingga mati ketika tidur sekitar pukul dua pagi, dengan polis menemui kesan kecederaan pada kepala dan belakang badan.
Siasatan turut menemukan patung Buddha disembunyikan di bawah katil yang menurut suspek digunakan untuk ‘mengawal roh’ mangsa, menguatkan penilaian polis bahawa lelaki berusia 52 tahun itu terobsesi dengan khurafat dan ilmu hitam.
Lebih mengejutkan, Nin-opa juga dikesan mempunyai waran tangkap berkait pembunuhan bekas kekasihnya yang lain di Saraburi, menunjukkan corak jenayah berulang yang didorong kepercayaan karut dan kecemburuan melampau.

2. 5 sekeluarga dibunuh dakwa amal ilmu hitam
Lima sekeluarga dari komuniti Oraon dibunuh dan mayat mereka dibuang ke tasik oleh penduduk kampung di Bihar, India, selepas dituduh mengamalkan ilmu hitam susulan kematian seorang kanak-kanak lelaki.
Polis menahan tiga suspek yang mengaku menyerang keluarga itu, dengan pelaku utama mendakwa salah seorang mangsa menyebabkan kematian anaknya.
Insiden ini berlaku walaupun beberapa negeri telah menggubal undang-undang bagi mengekang jenayah berkaitan tuduhan ilmu hitam dan data negara menunjukkan lebih 1,500 orang, majoritinya wanita, telah dibunuh atas tuduhan sama dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

3. Ahmad Suradji bunuh 42 wanita
Ahmad Suradji, seorang dukun dari Medan, Sumatra Utara, menjadi salah satu pembunuh bersiri paling sadis di Indonesia setelah membunuh 42 perempuan berusia 11 hingga 30 tahun sepanjang 1986 hingga 1997.

Lahir pada 10 Januari 1949 dengan nama Sagimin, dia sejak kecil mengaku sering didatangi mendiang ayahnya dalam mimpi yang kononnya mengajarnya ilmu kesaktian dan dakwanya menerima perintah untuk membunuh 70 perempuan demi memperoleh kesaktian.
Mangsa yang mencari bantuan untuk mencantikkan diri dipancing melalui ritual awal yang kelihatan normal sebelum dibawa ke ladang tebu pada tengah malam, dipaksa bertapa dan kemudian dibunuh, selain barang kemas mereka dirompak.
Pada awalnya Suradji hanya mengaku membunuh 16 wanita sebelum akhirnya mengakui jumlah sebenar dan siasatan turut membuktikan isteri pertamanya, Turmin, membantu melaksanakan jenayah ini; kedua-duanya akhirnya dijatuhi hukuman mati.
4. Bapa cuba jual anak albino untuk ritual sihir
Seorang lelaki di Tete, Mozambique ditahan selepas didakwa merancang menjual tiga kanak-kanak albino berusia sembilan hingga 16 tahun ke Malawi untuk digunakan dalam ritual sihir dengan nilai sekitar AS$40,000.
Polis berjaya menyelamatkan ketiga-tiga mangsa hasil maklumat awam, walaupun suspek menafikan perbuatannya.
Kes ini sekali lagi mencerminkan penganiayaan serius terhadap individu albino di beberapa negara subSahara Afrika, di mana bahagian tubuh mereka sering diburu untuk amalan sihir yang dipercayai membawa tuah dan kekayaan.

5. Dua lelaki dipenjara cuba bunuh Presiden Zambia dengan sihir
Dua lelaki di Zambia dijatuhi hukuman dua tahun penjara setelah didapati cubaan membunuh Presiden Hakainde Hichilema melalui amalan sihir, susulan penangkapan mereka pada Disember lalu dengan barang bukti seperti mengkarung hidup, kain merah, serbuk putih dan beberapa barangan lain.
Leonard Phiri dan Jasten Mabulesse Candunde ditahan selepas seorang petugas kebersihan terdengar suara mencurigakan dari lokasi persembunyian mereka dan hakim menegaskan motif perbuatan itu jelas ditujukan untuk membunuh individu ternama itu.

6. Dukun Pengganda Wang didakwa bunuh 12 mangsa
Slamet Tohari, seorang dukun pengganda wang berusia 45 tahun didakwa atas pembunuhan terancang sekurang-kurangnya 12 mangsa di Banjarnegara, Jawa Tengah, dengan mencampurkan potasium sianida ke dalam minuman ketika mangsa menuntut wang yang kononnya digandakan melalui kuasa ghaib, selain menuduhnya terlibat dalam penipuan, penggunaan wang palsu dan penyelewengan.
Siasatan yang bermula April 2023 membawa kepada penemuan kubur mangsa terbaru, Prasetyo, berhampiran rumah tertuduh selepas keluarga mangsa melapor kehilangan dan polis mengikuti lokasi yang dikongsi mangsa melalui WhatsApp.

Penyelidikan lanjut menemukan 11 lagi mayat di kawasan sekitar, menjadikan kes ini antara pembunuhan bersiri paling ngeri di wilayah itu, sementara Slamet yang dikenali juga sebagai Mbah Slamet berdepan hukuman mati di bawah Perkara 340 Kanun Jenayah jika disabitkan, dalam prosiding yang turut dipercepatkan selepas tertuduh enggan mengemukakan pembelaan awal.
Kes ini muncul hanya dua bulan selepas pihak berkuasa membongkar siri pembunuhan lain membabitkan sembilan mangsa di Cianjur dan Bekasi.
7. Mona Fandey: ritual maut yang menggemparkan negara
Mona Fandey, atau nama sebenarnya Nur Maznah Ismail, merupakan seorang penyanyi pop yang kemudian beralih menjadi bomoh dan berjaya menarik ramai klien kaya serta berpengaruh, termasuk ahli Dewan Undangan Negeri Mazlan Idris.
Pada awal Julai 1993, Mona bersama suaminya, Mohd Affandi, merancang membalas dendam terhadap Mazlan berhubung urusan tanah yang bermasalah dan menjemputnya ke banglo mereka kononnya untuk menjalani ritual pembersihan sebelum membunuh serta memotong mayatnya kepada 18 bahagian dengan bantuan pembantu mereka, Juraimi Hassan.

Polis segera mengesan jenayah itu dan pada bulan sama ketiga-tiga mereka ditahan serta didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas Juraimi membuat pengakuan, manakala sisa mayat Mazlan ditemukan tertanam di sebuah rumah tidak siap miliknya di Pahang.
Pada 2001, Mona dihukum gantung di Penjara Kajang dan kata-kata terakhirnya, “Aku takkan mati,” terus menghantui ingatan rakyat Malaysia walaupun lebih dua dekad selepas pelaksanaannya.

Filem Malam Terlarang yang menampilkan gandingan pertama kali dua pelakon berkaliber, Zul Ariffin dan Sofia Jane, mengangkat tema mistik dan ritual Nusantara yang disulam dengan mesej kekeluargaan serta pengorbanan manusia demi memenuhi keinginan duniawi.
Malam Terlarang arahan Nurhanisham Muhammad (Labu) ini turut dibintangi Shasha Abedul, Sabri Yunus, Normah Damanhuri, Hasnul Rahmat, Haneesya Hanee, Aila Azizul dan Sadiq M. Jamil.
Filem ini masih ditayangkan di pawagam seluruh negara dan Brunei, dan terus menerima sambutan luar biasa daripada penonton.