Pelakon, Raja Atiqullah menyorot perhatian ramai selepas berkongsi hasratnya untuk mencari kerja sambilan bagi menambah pendapatan.
Menerusi satu hantaran di platform Threads, Atiq atau Raja Muhammad Atiqullah Shah Raja Azman Shah menjelaskan kesediaannya melakukan apa sahaja jenis pekerjaan termasuk dalam bidang pemasaran ataupun sebagai pemandu peribadi.
“Assalamualaikum, saya dengan rendah diri, ada kerja kosong tak, bergaji yang okay? Kalau ada boleh mesej saya. Insya-Allah saya boleh komited, bahagian marketing ke, jadi driver personal pun boleh,” tulisnya.
Dalam pada itu, Atiq turut menjelaskan bahawa keputusan berkenaan tidak bermakna dia mahu meninggalkan dunia lakonan.
“Bukan saya tak nak berlakon, cuma buat masa sekarang saya nak cari gaji lebih sahaja. Terima kasih,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memberi mendoakan agar perjalanan kerjaya Atiq dan rezekinya sentiasa dipermudahkan.