Sekilas
- Penyanyi Ameng berasa bangga apabila mimik muka lucunya ketika siaran langsung di TikTok menjadi stiker yang tular dan digunakan ramai di media sosial.
- Ameng mula membuat siaran langsung secara suka-suka ketika menunggu penerbangan yang sering tertunda dan tidak menyangka reaksinya mendapat perhatian peminat.
- Sokongan peminat memberi semangat kepada Ameng untuk terus menghasilkan kandungan menghiburkan dan dia berterima kasih atas sokongan tersebut.
Penyanyi Ameng mengakui berasa bangga apabila mimik muka lucunya ketika bersiaran langsung di TikTok dijadikan stiker oleh peminat sehingga tular dan digunakan secara meluas di media sosial.
Menurut Ameng, semuanya bermula secara tidak sengaja apabila dia mula membuat siaran langsung bagi mengisi masa ketika menunggu penerbangan yang sering mengalami kelewatan.
“Mengenai akaun TikTok saya pula, ia bermula secara suka-suka semasa saya bosan menunggu penerbangan yang sering tergendala (delay) di lapangan terbang.
“Bila saya bercakap dan bercerita, rupanya mereka suka cara saya menyampaikan cerita,” katanya.
Pelantun lagu Sampai Hati itu berkata, dia sama sekali tidak menyangka ekspresi wajah dan cara penyampaiannya menjadi perhatian sehingga ada peminat menghasilkan stiker berdasarkan reaksinya.
“Saya tidak sangka cara saya bercakap dan mimik muka lucu saya diminati sehingga dijadikan stiker dan tular.
“Tapi saya bangga dan suka dengan sokongan peminat. Orang ‘repost’, orang buat stiker, saya suka.
“Malah kecaman yang diterima pun saya jadikan sebagai modal untuk berinteraksi dengan mereka,” ujarnya.
Tambah Ameng, sokongan yang diberikan peminat membuatkan dia semakin bersemangat untuk terus menghasilkan kandungan yang menghiburkan.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua peminat yang sentiasa menyokong saya,” katanya.
Terdahulu, Ameng sering mencuri perhatian menerusi sesi siaran langsung di TikTok apabila berkongsi pelbagai pengalaman hidup dan kisah sepanjang bergelar anak seni dengan gaya penyampaian yang bersahaja serta menghiburkan sehingga mengundang gelak tawa penonton.
Malah, reaksi wajahnya yang spontan ketika bercerita turut menjadi tular apabila dijadikan stiker dan digunakan secara meluas oleh pengguna TikTok dalam ruangan komen.