Teks: Rosie Haslinda Nasir


PEREKA fesyen Malaysia yang amat disegani, Rizalman Ibrahim yang menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran ‘Datuk' pada 24 Oktober 2016 yang lalu — memang selalu mencuit hati netizen dengan pelbagai status post Instagramnya yang boleh kita labelkan sebagai… “macam-macam hal.”

Datuk Rizalman Ibrahim bukan sahaja lantang dalam pengkaryaan. Dia juga lantang dalam membahaskan isu-isu masyarakat, apatah lagi jika ia berkaitan atau tersentuh isu-isu seputar industri keperekaan fesyen tanahair.

Ini yang Boleh Kita Pelajari Daripada Datuk Rizalman Ibrahim

Namun satu perkara yang perlu dan wajib dijadikan teladan adalah keberanian dan keluarbiasaan Datuk Rizalman Ibrahim menggunakan teknik-teknik pemasaran “redah-kasi-pecah” yang selalu membuat para pengikut setia (dan haters!) Instagramnya — ketawa berguling-guling bagai nak pecah perut!

Ya, Datuk Rizalman Ibrahim ‘tidak hadap’ membawa masuk selebriti gred A atau social media infleuncer dengan pengikut juta-jutaan untuk melariskan jualan tas tangannya. Cukup dia ‘menjual’ dirinya sendiri dengan watak Cikgu Murni, ia ternyata cukup berbekas dan menjadi bualan rancak lagi viral di laci-laci digital!

Tetapi InTrenders, janganlah menontonnya sekadar untuk berhar-har ketawa dan menghiburkan hati. Sebenarnya para suriniaga Malaysia terutamanya usahawan Melayu wajar mengambil kebijakan, kekreatifan dan keluarbiasaan idea-idea Datuk Rizalman Ibrahim dalam memasarkan produknya.

Seperti yang sedang gempar sekarang ini adalah pelancaran Ribag Hobo Mini yang bakal digempurkan jualannya di portal Zalora dan Sometime by Asian Designers, esok, secara serentak pada jam 11.00 pagi.

Percayalah, sejarah pasti berulang, Ribag Hobo Mini pasti akan licin tidak sampai 24 jam!

Lihat 5 Teknik Pemasaran “Redah-Kasi-Pecah” Ala Datuk Rizalman Ibrahim yang Anda Harus Cuba

A post shared by rizalman71 (@rizalman71) on

TEKNIK 1: Suntik Nafas Segar Pada 'Wajah' Pemasaran Anda

Kali ini Datuk Rizalman membawa peminat-peminat Ribag keluar dari kotak bilik kelazimannya. Ya, terkini, Datuk Rizalman gigih menjinjit produk terbaharunya walaupun di latitud dunia yang jauh berbeza pada suhu negatif! Objektifnya, sajikan panorama baharu supaya orang tidak jemu dengan iklan yang bertalu-talu.

A post shared by rizalman71 (@rizalman71) on

TEKNIK 2: Manfaatkan Habit, Gaya Hidup atau Perlakuan Lazim Masyarakat Sebagai Jalan Cerita Iklan/Kempen

Bijaknya Datuk Rizalman, dia tahu memetik suis pada tempat dan masa yang betul. Ini bukan fenomena aneh. Suami-suami dan khasnya teman-teman lelaki memang selalu menunggu pasangan di luar tandas. Inilah kelaziman dan habit harian masyarakat Malaysia yang diterapkan ke dalam kempen Datuk Rizalman, sehingga menjentik ilham para penonton Instagramnya lantas berkata, ya, ini memang gaya hidup saya dan ya... beg ini memang ditakdirkan untuk saya!

A post shared by rizalman71 (@rizalman71) on

TEKNIK 3: Masukkan Elemen Lagu yang Menghiburkan

Orang kita memang mudah dipukau dengan lagu yang selalu dimantrakan ke telinga kita. Apatah lagi jika lagu itu sedang popular, rancak dimainkan di radio atau punya melodi yang mudah berbekas dalam fikiran. Dalam kes ini, Datuk Rizalman bijak memilih lagu, lirik, melodi dan method of presentation yang simple tapi cukup mengasyikkan untuk menyihir pengikut Instagramnya. Brilliant!

A post shared by rizalman71 (@rizalman71) on

TEKNIK 4: "Stand By, Three, Two, One... ACTION!"

Selagi orang kita suka menonton drama, suka menonton cerekarama, selagi orang kita masih melayan kias ibarat dan satira, selagi itulah teknik marketing yang mencuplik elemen satira yang drama dan dramatik boleh melariskan produk dengan keras dan kencang sekali.

Datuk Rizalman bijak kerana dia peka dengan kehendak, keinginan dan impian masyarakat. Apatah lagi produk yang dihidangkan itu dibungkuskan dalam strategi pemasaran dan penjualan yang simbiosis. Dengan ilham kelas pertama, pertukangan rinci gred tinggi, disudahkan pula dengan harga mampu milik, maka tidak hairanlah mengapa #Ribag menjadi igauan jutaan wanita Malaysia, Singapura, Thailand malah melangkau juga ke pasaran Indonesia.

TEKNIK 5: Peka Dengan Isu Semasa yang Sedang 'Trending'

Sewaktu foto ini dimuat naik, para ibu bapa di seluruh Malaysia sedang berdebar menghantar anak ke dewan peperiksan SPM. Sekali lagi, Datuk Rizalman menunggangi isu semasa yang sedang trending ini dengan mengikut alun arus perdana. Para pemain wayang adegan ini semuanya muncul dalam pakaian seragam sekolah, tidakkah itu bijak sekali dengan iringan caption panjang lebar ala karangan SPM yang berbunyi begini:

Sudahkah bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan #ribaghobo besok hari?? Di bawah disertakan beberapa panduan. Perkara penting harus dititikberatkan ketika membeli RIBAG:

1. Pastikan jadual anda tidak bertembung dengan waktu mula penjualan, sekurang-kurangnya 1/2 jam awal sudah mula klik dan search di laman web Zalora (mengambil cuti kecemasan atau MC adalah satu langkah bijak.


2. Kuasa internet atau wifi haruslah pada tahap optimum untuk melancarkan urusan supaya kata-kata kesat tidak terpacul dari mulut anda.


3. Kad kredit mesti berada pada tahap ‘still boleh pakai’ bukan ‘sudah pokai’.


4. Jika pilihan warna anda sudah kehabisan, beli apa sahaja warna yang ada dan bertukar-tukarlah dengan pembeli yang lain kerana ada sahaja mereka yang mahu membeli dan menukarnya kemudian.


5. Jika laman crash, cubalah berkali-kali untuk log in kerana fenomena ini berkemungkinan akan berlaku kerana ribuan pembeli akan cuba masuk pada waktu yang sama. Sekali lagi jangan putus asa dan memaki hamun sorang-sorang.


6. Disebabkan pada kali ini kesemua 18 warna dilancarkan serentak berkemungkinan anda akan rambang mata. Jadi pergilah ke laman web www.sometime.asia/ untuk melihat warna-warna terdahulu.


7. Beg-beg keluaran #Ribag ini mempunyai nilai appearance yang tinggi! Rata-rata akan berasa bangga kerana ramai mengenalinya sambil berkata, "Wahhhh... you sempat dapat beg Rizalman ni?!”

8. Akhir sekali, jika anda jenis malas/kaya/ lembab ataupun buta IT, bolehlah berurusan dengan segala Personal Shopper (PS) yang bertebaran dan certified untuk membeli bagi pihak anda daripada proses membeli, buat engrave nama (jika mahu) dan menghantar ke alamat anda dengan selamat dan juga mereka-mereka ini mungkin juga menggunakan segala jari tangan dan kaki untuk mendapatkan beg-beg anda siap dengan warna pilihan sekali.


9. Akhir kata... korang yang akan jadi separuh gila, Cikgu yang kaya.


10. OK BAI!