Sebak, sayu, risau dan segala macam perasaan menyatu kala melihat foto-foto ini yang tular di media sosial. Kalau sebelum ini kita hanya ‘familiar’ atau menonton ‘pemandangan’ sebegini dalam filem-filem luar negara tetapi realitinya hari ini ia berada disini, dalam negara kita. Memetik sumber dari Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), MAEPS Serdang dipilih sebagai lokasi bagi menempatkan pesakit yang perlu dikuarantin dan turut berfungsi sebagai pusat rawatan Covid-19 berisiko rendah. Siang tadi Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Seri Dr Adham Baba melakukan tinjauan di lokasi berkenaan yang kini dalam proses persiapan akhir.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia


Penyediaan pusat kuarantin dan rawatan ini adalah sebahagian daripada langkah kesiapsiagaan KKM untuk berhadapan dengan pelbagai kemungkinan terutamanya daripada aspek peningkatan jumlah kes pesakit Covid-19. Mampu menempatkan 600 katil iaitu 400 untuk pesakit lelaki dan 200 untuk pesakit wanita, ia dilihat sebagai langkah proaktif KKM bagi menampung jumlah pesakit yang kian meningkat saban hari.


Kredit Foto: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia


Terus berikan kerjasama wahai rakyat Malaysia. Sesungguhnya keberhasilan tempoh PKP yang kini dilanjutkan hingga 14 April bergantung kepada kerjasama setiap lapisan masyarakat di seluruh negara. Walaupun sehingga hari ini masih ada lagi yang berdegil dan bertindak berani keluar rumah, ia sebenarnya hanya membangkitkan kemarahan semua pihak. Ada yang memandang remeh arahan kerajaan. Masih lagi keluar bersiar-siar, berjogging di taman rekreasi, membawa anak kecil ke taman permainan dan pelbagai lagi aktiviti dilakukan tanpa memikirkan risiko yang berlaku.


Kredit Foto: Google


Sungguh, tindakan kalian benar-benar mencerminkan sifat mementingkan diri dan akhirnya nanti hanya akan menyusahkan orang lain. Bagaikan mencurah air ke daun keladi, segala nasihat dan arahan hanya dipandang sepi. Kasihanilah mereka yang berjuang, berkorban, bertungkus-lumus dan berhempas-pulas di barisan hadapan demi memastikan keselamatan juga kesihatan kita terjaga.

Berulang kali nasihat, teguran bahkan rayuan daripada pelbagai pihak disuarakan. Baik di peringkat kerajaan, Perdana Menteri dan Menteri; PDRM bahkan hingga Sri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong bertitah agar semua rakyat hanya perlu duduk dirumah. Tolonglah… Sedarilah… Kita memainkan peranan yang amat penting dalam menghadapi situasi getir ini. Marilah bersatu dan berikan sepenuh tanggungjawab untuk sama-sama memutuskan rantaian jangkitan dan memerangi penularan Covid-19. Kita jaga kita okey!