Tidak dinafikan, dalam situasi pandemik Covid-19, kadar pengambilan pekerja kian merosot susulan keterkaitan dengan pelbagai faktor. Namun demikian, ia bukan alasan untuk graduan lulusan dari mana-mana institusi pengajian tinggi duduk senang lenang. Persediaan dan persiapan untuk menempuh alam pekerjaan tetap perlu ada dalam pemikiran masing-masing. Malah, ada sahaja peluang pekerjaan untuk kalian menimba pengalaman sebelum memperoleh pekerjaan dalam bidang yang dikuasi atau dipelajari. Berikut disenaraikan lima perkara penting yang perlu dijauhi agar kalian tidak membantutkan niat majikan untuk mengambil kalian bekerja.

Kredit Foto: Google
  1. Elakkan Terlalu Kerap ‘Follow Up’
Melakukan ‘follow up’ setelah selesai menjalani sesi temuduga adalah pendekatan yang bagus. Namun demikian, jangan terlalu kerap melakukannya. Memadai sekadar melakukan ‘follow up’ seminggu sekali dan hanya menggunakan satu platform sahaja. Pilih salah satu, sama ada untuk menelefon atau bertanya melalui emel. Amat penting untuk tidak melakukan kedua-dua platform atau dengan kerap mengulanginya.

Mengapa?
Ia akan membuatkan majikan berasa ‘annoyed’ dengan tindakan anda sekali gus boleh membatalkan niat mereka mengambil anda bekerja. Kekerapan itu juga memungkinkan pekerjaan mereka terganggu atau mengganggu tugasan mereka yang lebih penting misalnya sesi diskusi, mesyuarat dan lain-lain.

Kredit Foto: Google
  1. Jangan ‘Add Friend’ Majikan Di Media Sosial
Elemen profesionalisme perlu ada dalam perihal ini. Selepas menghadiri sesi temuduga dan anda juga secara tidak langsung telah mengenali nama majikan, tidak perlu ‘stalk’ atau ‘add friend, request’ dan sebagainya di Facebook, Instagram atau LinkedIn.

Mengapa?
Ia secara tidak langsung menggambarkan anda tidak menghormati privasi seseorang. Jangan fikir majikan atau penemuduga akan tertarik dengan anda, atau mereka boleh menganggap anda sebagai kawan dan sebagainya. Sebaiknya, hormati limitasi anda sebagai orang luar.

Kredit Foto: Google
  1. Tak Perlu Tukar ‘Expected Salary’
Semasa temuduga berlangsung, anda telah nyatakan atau berikan jumlah pendapatan yang diinginkan dan majikan telah bersetuju ataupun jumlah tersebut telah ditetapkan oleh pihak majikan. Secara ringkasnya, persetujuan antara kedua-dua belah pihak telahpun diakui. Dan telah tertulis rezeki berpihak kepada anda apabila menerima panggilan daripada majikan yang menyatakan anda terpilih. Tetapi, tiba-tiba anda bertanya, “Boleh tak saya nak ubah expected salary?” Jangan sesekali menyatakannya okey.

Mengapa?
Lantas jawab majikan, “Kami akan update semula dengan encik untuk pengesahan daripada pihak atasan”. Apa yang telah dipersetujui, seharusnya tidak boleh ditarik balik atau ada unsur tawar menawar. Dan kalau selepas itu anda tidak menerima panggilan balas daripada majikan, faham-faham sajalah ya sebabnya.

Kredit Foto: Google
  1. Jangan Terlalu Yakin Anda Lulus Temuduga
Seeloknya jangan sesekali lakukan perkara ini. Iaitu, pertanyaan yang diajukan kepada majikan ketika melakukan ‘follow up’ berbunyi begini, “Boleh saya tanya bila boleh mula bekerja? Ataupun anda ajukan soalan yang sama semasa sesi temuduga berlangsung sedangkan anda maklum masih ramai lagi calon yang sedang menunggu giliran untuk ditemuduga.

Mengapa?
Apakah anda cukup yakin anda adalah calon terbaik untuk mendapatkan pekerjaan itu? Secara tidak langsung, majikan labelkan anda sebagai calon yang tidak beradab atau dalam istilah kasarnya biadap. Ketahuilah, semua majikan tidak menyukai pekerja yang tidak tahu perihal adab. Jaga pertuturan dan soalan yang ingin diajukan okey!

Kredit Foto: Google
  1. Hantar Nota Terima Kasih Kepada Penemuduga
Pendekatan ini boleh dicuba. Bukan sekadar mengambil hati tetapi menunjukkan penghargaan dan ketelusan anda untuk bekerja di syarikat tersebut. Sebelum melakukan sebarang ‘follow up’, anda boleh menghantar emel kepada majikan dengan menyatakan ucapan terima kasih. Janganlah terjah atau terlalu gelojoh dengan terus bertanyakan perkembangan dan status temuduga anda.

Mengapa?
Majikan akan menjawab ia masih dalam peringkat pemilihan tetapi sebenarnya resume anda telah lama mereka ketepikan. Dan mungkin juga kalau anda terus menghubungi, mereka tidak akan melayani panggilan anda.

Jadikan senarai perkara diatas sebagai panduan dan rujukan sebagai persediaan anda menempuh alam pekerjaan. Pengetahuan dan ilmu asas adalah penting untuk dikuasai dan dipelajari kerana cabaran lebih besar menanti anda apabila bergelar sebagai pekerja suatu hari nanti. Semoga usaha dan ikhtiar anda untuk mendapatkan pekerjaan sesuai dengan kelulusan dipermudahkan.

Sumber: IG resumekreatif_hrk