Bukan masalah asing dalam isu rumahtangga apabila si isteri bergaji lebih tinggi daripada si suami. Ya, rezeki masing-masing itu kan berbeza. Maka cubalah berlapang dada dan lihat daripada sudut yang positif. Tetapi pasti ramai yang berkata, “Ingat senangkah nak hadap situasi ini?”


Mungkin tak banyak sedikit, ego lelaki pasti tergugat andai si isteri yang meraih pendapatan lebih besar daripadanya. Ataupun suami berasa rendah diri dengan isteri. Masakan tidak, dialah ketua keluarga yang mengemudi segalanya. Kepala keluarga yang menjadi tunjang dalam setiap perkara. Tetapi perlu akur saat isteri terima kenaikan pangkat atau memiliki tangga gaji yang lebih daripada suami.


Kredit Foto: Google

Jika tercabar ego suami, apa tindakan anda? Adakah sekadar duduk mengharap isteri melunaskan semua tanpa melakukan apa-apa? Benar, hidup dalam keadaan yang serba-serbi memerlukan duit pasti memberi tekanan kepada pasangan suami isteri. Malah alasan tak cukup duit atau tiada duit antara punca ‘favourite’ yang membibitkan pergaduhan hingga berakhir dengan penceraian.



Pentingnya Persefahaman dan Tolak Ansur


Disinilah perlunya suami isteri saling berdiskusi dan membuat timbang tara sebaiknya. Bahagikan keperluan perbelanjaan isi rumah seadilnya. Namun awas! Suami janganlah pula mengambil kesempatan ke atas isteri sementelahan dia punya gaji yang lebih besar. Fahami peranan dan tanggungjawab hakiki yang wajib kalian penuhi sebagai suami iaitu memberi nafkah zahir dan batin, menyediakan tempat tinggal, memberi makan dan minum, menyediakan pakaian dan perhiasan isteri, memberi perlindungan, keselamatan, kesihatan dan pendidikan. Mungkin ada ketikanya suami tak cukup duit atau mempunyai kekangan lain, disinilah masanya isteri memainkan peranan. Bantu dan tampung mana yang lopong. Biarlah bantuan yang dihulur itu bersulamkan keikhlasan. Bimbang nanti jika diungkit, hilang keberkatan dan pahalanya.


Duit Suami, Hak Bersama


Walau sekecil manapun gaji suami, jangan lokek atau lupa hulurkan kepada isteri. Bukannya apa kerana sememangnya itu adalah tanggungjawab suami untuk memberi nafkah kepada isteri. Tak perlu berlebih-lebih, cukup sekadar yang termampu. Ingatlah wahai suami, dalam duit kalian ada peruntukan atau hak yang hendaklah diberikan kepada isteri. Jangan pula melenting andai isteri meminta duit daripada anda.


Kredit Foto: Google


Duit Isteri, Hak Isteri


Haram bagi suami untuk gunakan duit isteri kecuali isteri reda dan menghalalkannya. Malah suami tiada hak untuk bertanya mengenai duit isteri dan ke mana isteri belanjakan duitnya. Hadam betul-betul ya para suami...


Hukum Suami Guna Duit Isteri

Menurut perkongsian Ustaz Azhar Idrus menerusi posting 'Hukum Suami Guna Duit Isteri', ia halal jika isteri menghalalkan. Tetapi ingat! Perbelanjaan harian yang perlu adalah wajib ke atas suami walaupun isteri kaya dan bergaji besar daripada suami. Contohnya, isteri berniaga RM20K sebulan dan suami makan gaji RM2000 sebulan. Suami tidak boleh berkata kepada isteri, 'Yang ni awak bayar'. Hukumnya haram. Kerana tanggungjawab belanja nafkah harian adalah atas suami. Melainkan isteri berkata, 'Oleh kerana awak tak ada duit, biar saya yang bayar'. Ini dibolehkan.


Kredit Foto: Google

Apa Tindakan Suami?

Bagi suami yang pendapatannya kurang daripada isteri, janganlah berasa rendah diri. Cuba perbaiki dan kukuhkan kedudukan kewangan anda. Mungkin melakukan kerja sambilan adalah alternatif sebagai langkah permulaan. Ataupun cuba wujudkan simpanan bersama isteri dalam usaha membentuk sistem kewangan rumahtangga. Dengan ini suami isteri akan bersama-sama membantu satu sama lain untuk memastikan rumah tangga berjalan lancar dan bahagia.

Atau cara mudah adalah membahagiakan isteri dengan melayaninya penuh hemah dan berlemah-lembut. Bercakap dengan nada yang tidak menyakitkan, memuji kecantikan isteri, hargai pengorbanan isteri dan mendoakan kesejahteraannya. Insya-Allah, akan dicukupkan rezeki dan dikurniakan keberkatan buat suami. Tak percaya? Cubalah!