Melihat angka kematian dan kes positif yang semakin meningkat saban hari pastinya merisaukan semua pihak. Dan yang paling terdekat adalah persiapan menyambut Ramadan yang mungkin jika tiada aral melintang jatuh tanggal 24 April. Hanya berbaki kurang tiga minggu dari sekarang. Malah sejak semalam lagi, kita dikhabarkan dengan beberapa negeri mengambil langkah untuk membatalkan penganjuran bazar Ramadan tahun ini. Antaranya Selangor, Melaka, Kedah, Negeri Sembilan dan Terengganu.


Kredit Foto: Google


Memetik kenyataan Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menyediakan SOP berkaitan bazar Ramadan sekiranya PKP telah tamat. Menurutnya, "Selagi PKP ini diteruskan atau jika kerajaan terpaksa teruskan PKP, maka bazar Ramadan tidak dibenarkan," katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pula dalam sidang media harian menyeru masyarakat agar tidak menyertai sebarang bentuk perhimpunan dalam tempoh enam bulan hingga setahun walaupun PKP telah ditamatkan. Ujarnya, "Walaupun belum tahu sama ada PKP akan tamat atau tidak, tetapi amalan kita sudah berubah. Bukan seperti dahulu. Sebagai contoh, kita mengamalkan penjarakkan selamat termasuk tidak bersalam selain kerap basuh tangan. Selain itu, perhimpunan pula dalam tempoh enam bulan hingga setahun kita tidak mengalakkan langsung ia dilakukan membabitkan orang ramai".


Kredit Foto: Google


Lantas ada yang mula berkira-kira apakah kita bakal menyambut kedatangan 1 Ramadan tanpa amalan solat tarawih dan rutin ke bazar Ramadan? Mungkin masih jauh untuk memikirkannya tetapi pelbagai persediaan harus diambil kira. Dan sudah pasti, peniaga dan penjaja di bazar amat terkesan dengan pengumuman ini. Namun jika kita lihat dari sudut positif, saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak kerajaan adalah bagi memastikan wabak ini pulih sepenuhnya. Segala langkah dan pendekatan yang diambil dilaksanakan demi memastikan keselamatan dan tahap kesihatan kita terpelihara.


Kredit Foto: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia


Lihat saja statistik Covid-19 bagi negara di seluruh dunia (sehingga 3 April 2020). Jumlah kes seluruh dunia telah melebihi 1 juta kes dengan kadar kematian sebanyak 5.23% atau 52,986 kes. Manakala Malaysia hari ini mencatatkan tiga lagi kematian akibat Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif keseluruhan sebanyak 53 kes kematian. Sebanyak 217 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 3,333 kes. Dan melihat angka ini, semakin kuat firasat ramai suasana menyambut kedatangan 1 Ramadan dan mungkin 1 Syawal berubah sama sekali. Tidak lagi meriah seperti kebiasaannya. Mungkin tiada suasana bersesak-sesak mencari parkir di bazar Ramadan. Berpusu-pusu hingga ada yang perlu berbaris panjang semata-mata mahu membeli murtabak, roti john, ayam percik, air mangga, kuih tepung pelita dan aneka menu popular di bazar Ramadan.


Kredit Foto: Google


Mungkin ada yang sudah berkira-kira, mod bazar Ramadan akan beralih kepada kaedah dalam talian. Hanya perlu pesan menu atau makanan, buat pembayaran dan ia akan dihantar dari rumah ke rumah. Memikirkan soal ini, pasti golongan penjaja yang lebih berusia menghadapi kesukaran untuk membiasakan diri dengan penggunaan teknologi khususnya untuk khidmat pesanan dan penghantaran. Atau mungkin pihak berkuasa tempatan (PBT) akan tampil membantu peniaga mengenai persiapan kaedah baru bazar Ramadan online? Sama-sama kita nantikan.


Kredit Foto: IG Astro Awani

Jika tiada bazar Ramadan, bagaimana pula dengan rutin solat Tarawih yang lazimnya dilakukan secara berjemaah di masjid-masjid? Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Al Bakri, “Sama ada PKP yang ketiga ada atau tidak, itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan selepas itu kita akan membuat satu kenyataan berkenaan solat Tarawih dan kita akan melihat yang terbaik dalam isu ini,” ulasnya. Bagaikan menanti penuh debar hari demi hari bagi masyarakat kita ketika ini. Sungguh, ia tidak mudah dan kita terkesan dengan hadirnya wabak Coronavirus Covid-19. Emosi, spiritual, kewangan, pekerjaan, rutin harian dan banyak lagi perihal terbelenggu dan terganggu. Namun itu bukan alasan untuk kita terus mengeluh dan merungut susulan arahan duduk dirumah dikuatkuasakan.


Kredit Foto: Google


Apa yang kita ada kini? Terus panjatkan doa dan mengingati-Nya. Berpeganglah kepada janji Allah, sesungguhnya ujian itu diberikan kepada kita untuk menguatkan keimanan kita. Ia dihantar sebagai peringatan dan pelajaran agar kita lebih mendalami erti bersyukur dan meningkatkan ketakwaan kepada-Nya. Perbaiki dan perhalusi tindak-tanduk kita selama ini. Pasti ada yang tanpa kita sedari, mungkin kita membelakangkan-Nya, lalai dan leka dihanyut godaan dunia. Hingga pada saat inilah kita perlu dekatkan diri pada-Nya. Merayu dan memohon keampunan agar semuanya kembali seperti sedia kala. Insya-Allah.