Teks: Nor Hatina Shuib


Seorang pakar ekonomi dan kaunseling pernah berkongsi pandangan, antara punca perceraian dalam kalangan pasangan muda berlaku apabila mereka menjadikan perkahwinan sebagai trend tanpa mempunyai matlamat dan perancangan kewangan kukuh selain usia pasangan terlalu muda.


Manakala tempoh kematangan sosial bagi wanita ialah pada usia 23 tahun dan lelaki pula menginjak usia 25 tahun.


Kebanyakan anak muda hari ini berkahwin hanya kerana ingin mengikut trend, iaitu kahwin muda, mengikut ajakan kawan dan yang paling utama terpengaruh dengan media sosial yang semuanya terlihat ‘sweet’.


Sebenarnya, perkahwinan tidak seharusnya hanya dipandang sebagai cara menghalalkan hubungan saja tetapi bagaimana kesan perkahwinan itu dalam melahirkan pemimpin berkualiti dalam menerajui hubungan perkahwinan yang pada masa sama dapat membimbing pasangan kea rah lebih baik.


Di sini, pentingnya ilmu rumah tangga yang menjadi tiang kepada kukuhnya tembok perkahwinan yang dibina.


Kredit foto: Google


Perkahwinan Bukan Hanya Menyantuni Nafsu

Namun, agak mengecewakan dalam segelintir masyarakat yang adakalanya melihat perkahwinan itu jalan mereka menutup maksiat anak, lorong menutup sikap anak yang malas bekerja dengan menjangkakan apabila sudah berkahwin boleh menjadi insan bertanggungjawab selain menjadikan perkahwinan sebagai perisai untuk berlumba-lumba mendapat menantu supaya orang tidak lagi mengajukan soalan bila akan mengahwinkan anak?


Wahai ibu-bapa elakkan memaksa atau mendorong anak berkahwin pada usia terlalu muda tatkala mereka masih terkapai-kapai mengenal diri dan belajar kehidupan.


Pada golongan muda remaja pula, fikir masak-masak sebelum mahu melangkah kealam perkahwinan. Besar manakah kesabaran dan komitmen anda untuk mengharungi usia perkahwinan?


Sedarikah kita hari ini, ramai anak muda berkahwin awal tetapi pada masa mengakhiri hubungan perkahwinan sekerat jalan.


Tidak seperti golongan muda di era dulu yang mana ada yang sudah berkahwin pada usia 13 tahun tetapi mahligai dibina berjaya diharung puluhan tahun lamanya.




Masjid Runtuh Pada Perjalanan Singkat

Apakah halangan dan punca golongan muda hari ini berkahwinpada usia muda tetapi gagal mengawal perkahwinan sehingga ke tahap bercerai? Sudah cukupkah kewangan, kematangan dan ilmu agama apabila anak mahu berkahwin?


Itu belum lagi pengalaman dan situasi anak remaja yang sudah berkahwin lari pulang ke rumah ibu-bapa walaupun baru seminggu dua melalui alam perkahwinan.


Perkahwinan itu tidak ada silapnya jika ia disemarakkan dengan sikap saling menerima kelemahan pasangan dan pada masa sama ditaburi benih agama supaya kesabaran dapat dipupuk dalam hati.


Tidak kurang ada remaja yang masih belum bersedia meniti alam perkahwinan tetapi akur dengan permintaan keluarga untuk disatukan. Akhirnya gagal di tepi jalan. Siapa yang perlu bertanggungjawab akan perihal ini? Tentunya ibu-bapa yang terlalu menekan mereka berkahwin memikul tanggungjawab ini.


Lebih memeningkan, jika sudah mempunyai zuriat, siapa pula mahu menanggung waris itu sedangkan ibu bapanya masih muda dan terkapai-kapai dalam menyara diri.


Mahu tidak mahu, beban tergalas di bahu si ayah dan ibu yang merencanakan perkahwinan anak itu tadi.


Kasihan pula melihat ibu bapa yang sepatutnya berbahagia di usia tua mereka, melancong ke sana-sini atau mendekatkan diri dengan yang maha Esa terpaksa mengusung cucu hasil perceraian anak ke sana-sini.


Kredit foto: Google



Bekalkan Dengan Ilmu dan Pengetahuan

Dalam Islam, perkahwinan itu adalah satu pengakhiran hubungan yang suci dan dipandang mulia agama tetapi perlulah ditanamkan ilmu perkahwinan terlebih dulu. Apabila anak sudah matang, ada rasa tanggungjawab dan kewangan kukuh, ciri-ciri ini menjadi asas kepada kejayaan perkahwinan.


Di zaman serba moden ini, wang diperlukan untuk membayar komitmen seperti rumah, kereta, motor dan perbelanjaan dapur. Bak kata pepatah, di awal perkahwinan semuanya pasti indah.


Beras tidak cukup , boleh dimakan seorang sedikit,namun jika situasi ini berlaku setiap hari, pasti akan menjadi satu punca kepada pergaduhan yang membawa kea rah keruntuhan perkahwinan.


Pergaduhan di usia yang tidak matang pastinya membuatkan pasangan melihat perpisahan sebagai jalan terbaik walaupun adakalanya alasan bercerai pada usia ini tidak masuk akal dan diperbaiki.


Manakala ekonomi anak yang tidak stabil juga perlu diperhalusi ibu-bapa sebelum mereka dibenarkan berkahwin. Ini kerana kewangan yang kukuh berupaya melengkapkan alam perkahwinan.




Akhirnya, Mak Ayah Tempat Tanggung Beban

Sampai bila ibu bapa mahu menjadi ‘banker’ kepada anak? Ini kerana ada yang sanggup menaja majlis perkahwinan anak asalkan anak dapat berkahwin.


Pupuk anak dengan sikap berdikari kerana apabila mereka sudah berkahwin nanti mereka dapat mengemudi alam perkahwinan dengan pasangan tanpa menyusahkan ibu-bapa.


Bak kata pepatah, beri joran dan jangan beri ikan. Ini mempunyai hubung kait yang mana anak yang dikahwinkan pada usia muda dapat melalui cabaran dan dugaan hidup berumahtangga. Jika tidak tahu susah dari awal, mereka akan gagal pada permulaan cabaran itu.


Selain kematangan dan kewangan yang stabil, berilah panduan kepada anak yang dikahwinkan pada usia muda. Ilmu agama dapat membimbing rohani anak menjadi pemimpin yang baik terutama anak lelaki dan mereka lebih menghormati hak pasangan terutam isteri.


Seharusnya golongan muda mempersiapkan diri dan memikirkan perkahwinan memerlukan kasih sayang, kebahagiaan, pengorbanan dan tanggungjawab dan bukan hanya sekadar nafsu semata-mata.


Perkahwinan berlandaskan nafsu tidak akan bertahan lama. Binalah perkahwinan dengan rasa hormat dan penuh matlamat.


Dikhuatiri juga, sikapsegelintir pasangan muda yang kini lebih terdorong membandingkan diri dengan gaya hidup orang lain di media sosial juga berupaya menyebabkan mereka sanggup bergadai golok demi mendapatkan sesuatu sehingga berdepan masalah kewangan.


Masalah kewangan boleh menjadikan kehidupan kucar-kacir dan berantakan.


Realitinya, amat sukar merealisasikan impian hidup berkeluarga tanpa menghadapi krisis kewangan. Namun, mereka perlu bersabar dan tidak cepat melatah dengan apa jugaa cabaran yang ditakdirkan.

Kredit foto: Google



Hanya Pengalaman Dapat Mendewasakan

Ilmu rumah tangga tidak boleh dipelajari dalam waktu yang singkat, ia dihimpun sepanjang pengalaman hidup tetapi penulis berpendapat, ilmu daripada kursus pra perkahwinan juga boleh dimanfaatkan sepenuhnya pihak terbabit.


Antaranya melengkapkan pasangan yang ingin berkahwin ilmu rumah tangga dan perancangan ekonomi secara jelas dan lebih interaktif supaya mereka ada bayangan apa yang akan dilalui dan perlu dilakukan sebaik melangkah kealam perkahwinan terutama ilmu pengurusan kewangan.


Ini bukan saja mengelakkan keruntuhan perkahwinan di usia muda tetapi mengurangkan risiko stres dalam kalangan pasangan muda.


Satu kajian dijalankan di Amerika Syarikat oleh barisan pakar perubatan mendapati, perkahwinan bawah usia berisiko menyebabkan gangguan kepada kesihatan mental.


Sebanyak 41 peratus perkahwinan pada usia kanak-kanak atau remaja bawah umur dipercayai menjadi punca trauma psikologi dan berisiko menghidap penyakit psikiatri. Kesannya mereka juga boleh mendapat kesan kemurungan, keresahan melampau dan penyakit bipolar.


Walaupun tidak dinafikan, ada yang berjaya mengharung usia perkahwinan muda, tidak salah kita menyediakan payung sebelum hujan melanda.


Usia perkahwinan awal perlu dimanfaatkan untuk menjadikan pasangan lelaki pemimpin dan ayah yang baik kepada anak-anak manakala wanita sebagai ibu yang melindungi dan menjadi contoh teladan kepada anak.




Jom Kita Lihat Kenapa Ramai Gagal Melayar Bahtera di Usia Muda

1. Kurang Ilmu Rumah Tangga
Bak kata pepatah, belum ranum sudah dijolok. Ia perumpamaan kepada pasangan muda yang tergesa-gesa berkahwin tetapi ilmu tiada.

Pasangan perlu mempelajari ilmu ini daripada pengalaman rakan dan timbang tara apa yang terbaik kepada mereka.


2. Ekonomi Belum Stabil
Benar atau tidak mereka yang berkahwin pada usia muda terutama lepasan kolej atau graduan yang masih belum memiliki pekerjaan tetap berisiko menghadapi masalah kewangan apabila mereka berkahwin.

Lebih baik kukuhkan ekonomi dan miliki kerja tetap sebelum berfikir kea rah perkahwinan. Apabila berkahwin, komitmen menjadi lebih tinggi dan anda perlu memberikan kehidupan selesa kepada anak isteri dan pasangan.


3. Keinginan Berseronok
Diakui masih ramai remaja yang berkahwin masih mahu ‘enjoy’ dengan kehidupan sosial.
Mereka masih tidak puas menghabiskan malam di luar, melepak di kedai makan dan mempunyai lebih masa untuk diri sendiri walaupun sudah berkeluarga.

Apabila anda memilih untuk berkahwin sebenarnya anda sudah bersedia mengurangkan masa muda anda dengan kawan-kawan dan menumpukan perhatian kepada pembinaan institusi perkahwinan.



4. Komitmen
Masalah komitmen. Ini adalah penyebab utama dalam keruntuhan rumah tangga pasangan muda. Selepas berkahwin, ada yang rasa tidak selesa dan baru menyedari mereka perlu terikat dengan pasangan dalam setiap tindakan dan keputusan dibuat.


Kebanyakan golongan muda kurang gemar dan sukar terikat dengan komitmen. Mereka gemar akan kebebasan.