Penulis antara mata yang menjadi saksi ketika majlis resepsi perkahwinan mereka di Grand Ballroom, Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam dulu. Tidak terkejut apabila melihat seisi ruang utama yang berhias sebegitu gemilang dengan penampilan mempelai yang sudah diduga akan gemerlap dan glamor.


Walaupun jarak usia mereka 12 tahun, Che Ta kini berusia 46 tahun dan Zain 34, namun keserasian mereka melenyapkan jurang usia itu. Jika tidak, masakan hubungan intim mereka masih bertahan sehingga dikurniakan puteri comel, Aaisyah Dhia Rana yang kini berusia lima tahun.




Kredit Foto: Rozita Che Wan



Perasaan Che Ta selepas enam tahun?

Alhamdulillah, syukur dengan jodoh yang Tuhan panjangkan sehingga ke hari ini. Usia ini bukan dikira dengan detik masa yang berjalan semata-mata tetapi disulami rasa kasih dan sayang yang sentiasa mekar antara kami, anak dan seluruh keluarga.



Sepanjang enam tahun ini, berapa kerap bergaduh dan bermasam muka?

Kami jarang bertelagah benda yang besar-besar. Adatlah rumah tangga, sesekali berlawan cakap tetapi tidaklah sampai berperang. Selalunya, kami akan berleter kepada Zain hal-hal remeh seperti suka letak barang bersepah ke? Ada hal-hal yang dia selalu terlupa ke, itu yang selalu kami bebelkan.



Selalu kalau Che Ta marah, apa reaksi Zain?

Dia malas nak layan kami. Hahaha… Paling tidak dia hanya akan cakap, ‘I am sorry, sayang…” Sorry itu perkataan magik yang boleh membuatkan kita sejuk hati dan terus melupakan kemarahan tadi. Tak susah kan?




Kredit Foto: Rozita Che Wan



Tips untuk perempuan yang nak kahwin lelaki muda?

Sebenarnya, tak ada tips khusus pun. Kebiasaannya, lelaki muda ni akan menurut saja kata kita. Tak banyak kerenah dan selalunya, isteri yang lebih berusia ini akan jadi lebih dominan. Jadi, balance kan? Suami muda lebih mengikut dan isteri yang lebih tua lebih matang dan banyak menentukan beberapa perkara dalam rumah tangga. Umpama jari dengan ruang-ruang jari, yang boleh mengisi ruang yang ada. Satu lagi, suami muda ni lebih manja, jadi pandai-pandailah jaga dan melayan mereka.



Falsafah perkahwinan Che Ta?

Perkahwinan tanpa persediaan umpama masuk exam tanpa membaca buku – memang bersedia untuk gagal lah kan? Hahaha…