Biasalah orang perempuan, nafsunya sembilan dan akalnya satu. Itu yang selalu kita dengar kan? Eh, tapi boleh percayakah akalnya satu? Kalau satu, takkanlah suami boleh ‘cair’ dengan pujuk rayu isteri apabila tiba bab membeli kelengkapan rumah, perkakas dapur dan sebagainya? Ya, orang perempuan memang mahir kalau bab nak ‘pukau’ suami.

Kredit Foto: Google

Contoh situasi yang selalu kita dengar atau mungkin pernah alaminya sendiri. “Abang, jom pergi Ikea! Teringin nak makan meatball, dah lama tak makan.” Tutur ringkas si isteri. Demi tidak mahu menghampakan permintaan isteri, dituruti jua kehendak itu. Berpergianlah seisi keluarga. Tiba di sana, sesudah kenyang menikmati meatbaal yang didambakan selama ini, keluar pula skrip ajaib isteri. “Eh, saya nak beli penyangkut baju. Dah ada dua tiga yang patah.” Tahu-tahu saja, penuh satu troli apabila beratur untuk membayar. Sedangkan si isteri tadi hanya nak beli satu dua barang saja. Ya, itulah magisnya. Dan si suami pula buat-buat garu kepala yang tak gatal. Terfikir agaknya macam manalah boleh ‘terpukau’ dengan ayat isteri tadi, hahaha… Lumrah kan?


Teringin Macam-Macam!

Kalau sebelum ini, tular di media sosial dengan pelbagai perkakas dapur dan alat kelengkapan rumah yang menjadi kegilaan dan keterujaan orang dapur untuk membeli. Maklum sajalah mata kita ni puan-puan, memang semula jadi sukakan benda yang cantik, kemas, tersusun rapi dan sedap mata memandang. Kalau waktu emak kita dahulu sudahpun merasai fenomena mangkuk pinggan bermacam jenis. Arcopal, pyrex, vintage dan banyak lagi. Dan kini tiba pula giliran kita untuk merasai fenomena yang hampir sama. Lebih-lebih lagi kalau pernah tengok depan mata. Pergi ke rumah saudara-mara atau rumah kawan disajikan pula dengan set pinggan mangkuk yang kita idamkan. Boleh makan hati dibuatnya tau! Hahaha…

Kredit Foto: Google

Set Senduk, Sudip Pun Boleh Viral

Hadir dalam pelbagai warna, mulalah mata kita mencerlang. Lantas akal mula berputar memikirkan apa alasan logik untuk diberi kepada suami agar dia mampu hadam mengapa ia perlu dibeli. “Sebelum ni I guna yang kayu. Dah lama guna, makin terhakis. Dah nak terkeluar urat-urat kayu kat hujung senduk tu,” hurai isteri panjang lebar. Nak tegakkan fakta mana lagi tuan-tuan kalau dah diterangkan sebegitu jelas. Maka sudahnya reda saja si suami. “Berapa harganya?” tanya si suami sambil dalam kepala berkira-kira bajet bulan itu. “Alah tak mahal sangat. Tak sampai RM100 pun.” Terang si isteri penuh yakin. “Amboi, senduk sudip pun nak dekat RM100?” suami pula curiga kerana pelik tak mungkin semahal itu. “Dia tak jual loose, kena beli satu set. Ada sudip, senduk, pemukul telur…” belum sempat isteri menghuraikan satu persatu, suami hulurkan duit. Tersenyum gembira dan berbunga hati si isteri. Sudah terbayang set senduk sudip bagai untuk diletakkan di dapur. Cantiknya!

Kredit Foto: Google


“Blender boleh, masak pun boleh dalam ni…Bolehlah ya kita beli?”

Walhal harganya ribuan ringgit. Si isteri sanggup mengikat perut, main ‘kutu’ semata-mata mahu pastikan impian memiliki Thermomix tercapai. “Tak berkecah dapur kalau masak guna ni. Alah, selama saya masak nipun, bukan Abang tolong kemas atau lapkan dapur. Saya nak beli juga untuk kemudahan saya,” begitu tegas sekali pendirian isteri. Hitam katanya, maka hitamlah ia. Tiada negosiasi atau timbang tara. Hasil menyimpan duit berbulan lamanya, akhirnya apa yang dihajati selama ini sudah ada dihadapan mata. “Kan senang dah ada ni. Semua campak aje dalam ni. Pusing, tekan dah siap masak. Tak payahlah berjam-jam duduk dapur nak masak empat lima jenis lauk,” leter isteri sambil si suami seakan ‘tak kuasa’ nak melayan. “Kalau rosak macam mana? Beli pun dah beribu. Nak repair mesti beratus atau beribu juga ni,” ujar suami sekadar memberi pandangan. “Barang baik ni bang. Tak mudah rosak, tak payah nak risau sangatlah” balas isteri menegakkan hujahnya.

Kredit Foto: Google

Penangan Penyedut Hampagas Viral

“Bolehlah awak, kita kongsi duit beli ni. Ringan ni, senang. Lagipun boleh sangkut. Tak payah nak susah-susah tekan-tekan supaya habuk semua masuk dalam,” pujuk isteri selepas melihat kakak iparnya baru membeli vakum Dyson tempoh hari. “Kalau macam ni punya ringan, tiap-tiap hari vakum satu rumah pun taka da masalah,” pancing isteri lagi. “Vakum yang lama tu kan elok lagi. Bukannya rosak pun. Tak payahlah nak ikut orang. Membazir aje,” hurai si suami pula. Isteri mula tarik muka, masam mencuka. “Kalau nak guna sangat, pinjam aje dengan Kak Long. Lepas tu pulang balik. Kita kan nak masuk rumah baru. Banyak benda nak beli. Kalau ikutkan nafsu awak ni, boleh muflis saya dibuatnya, tau tak?” jelas suami menerangkan duduk perkara sebenar. Lantas dek kerana tak mahu perbalahan berpanjangan, maka dipendam saja keinginan itu. “Kalau ada rezeki lain, ada duit lebih nanti-nantilah saya belikan untuk awak,” pujuk si suami sekadar mahu mengambil hati isteri yang sudah mula mendiamkan diri.

Kredit Foto: Google

Boleh Buat Duit Jual Kain Lap

Selepas berlalu musim kegilaan periuk, set senduk dan segala macam perkakas dapur kini khabarnya sedang tular dengan keterujaan kain pengelap dan mop pula. Lebih menarik lagi katanya ia berupaya menghilangkan kotoran degil. Wah, siapa yang tak teringin nak cuba kan? Lalu si isteri DM ejen untuk membeli segala jenis kain lap. Untuk kegunaan dapur, cermin dan lain-lain. “Eh aku dah beli kain tu. Memang hilang kotor beb. Segala minyak, yang hitam-hitam berkeladak semua sental guna kain tu je. Kalau nak, beli dengan aku aje. Eh mop pun ada tau. Memang senanglah hidup kau. Rugi kalau tak beli. Nad Zainal yang artis tu pun jadi ejen tau,” berjeda ajakan si isteri kepada rakannya dihujung talian. Mahal? Harga bukan ukuran bagi wanita zaman sekarang. Tambahan pula yang pegang duit sendiri. Tahu saja di mana nak labur dan leburkan duit tu. Janji, hasilnya nampak didepan mata.

Begitulah lumrah sifat wanita. Keinginannya bermacam-macam hinggakan jika salah percaturannya boleh mencetuskan perselisihan faham dengan suami. Sungguhpun begitu, berpada-padalah dalam membuat pembelian perkakas dapur mahupun peralatan dan kelengkapan rumah. Faktor kewangan perlu diperhalusi dan diteliti. Maklum sajalah, memandangkan kedudukan ekonomi ketika ini sungguh mencabar. Justeru, setiap pembelian itu hendaklah difikirkan kepentingannya. Sama ada benar-benar diperlukan atau mungkin boleh ditangguhkan. Bezakan antara keperluan dan kehendak. Bincang baik-baik dengan suami okey!