Umum mengetahui, bermula 1 Julai ini semua Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) dan prasekolah dibenarkan beroperasi sepenuhnya. Pastinya semua guru dan kakitangan Tadika telah bersiap siaga dengan segala persediaan untuk mengajar dan mendidik semula anak-anak yang ‘bercuti panjang’ sejak penguatkuasaan PKP 18 Mac lalu.


Kredit Foto: Google


Pembukaan keseluruhan prasekolah dan Tadika ini membabitkan sebanyak 6,216 prasekolah di bawah kendalian Kementerian Pendidikan serta 7,887 adalah tadika milik swasta. Memetik kenyataan Menteri Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, "Tadika yang berdaftar di bawah Kementerian Perpaduan Negara pula sebanyak 1,781 sementara di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar adalah 8,530”. Sekali gus memperlihatkan penguatkuasaan SOP yang perlu dipatuhi pengurusan Tadika dan prasekolah.


SOP Pembukaan Tadika Dan Prasekolah Mengikut Garis Panduan Kementerian Pendidikan Malaysia


Pentadbir:
  1. Memberikan penerangan kepada ibu bapa / penjaga tentang norma baharu yang perlu dipatuhi.
  2. Memastikan kemudahan untuk mencuci tangan dan pengimbas suhu disediakan di kelas prasekolah / tabika / tadika.
  3. Memastikan bilik pengajaran dan pembelajaran (PdP) dibersihkan sebelum sesi persekolahan bermula dan pada setiap hari selepas sesi persekolahan tamat.
  4. Memastikan fokus utama pembersihan pada permukaan yang sentiasa disentuh dan pada ketinggian yang boleh dicapai dengan tangan seperti tombol pintu, suis lampu, kepala paip, pengepam tandas, pelapik duduk tandas dan 4 susur tangan bagi prasekolah / tabika / tadika yang mempunyai Murid Berkeperluan Khas (MBK).
  5. Memastikan guru dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) membuat persediaan sebelum pembukaan semula kelas, iaitu: A. Menentukan kedudukan murid dengan mematuhi penjarakan sosial B. Membersihkan kelas, bahan dan peralatan C. Memastikan tiada penggunaan permaidani, tikar dan skirting meja.
  6. Menyediakan bilik kesihatan / bilik sakit yang dijadikan sebagai bilik isolasi untuk menempatkan murid yang didapati bergejala sebelum dibawa oleh ibu bapa / penjaga untuk rawatan.

Kredit Foto: Google


Guru dan Pembantu Pengurusan Murid
  1. Memakai pelitup muka semasa bersama-sama dengan murid.
  2. Memastikan gate keeping dijalankan bagi memeriksa suhu badan dan membuat saringan gejala. Ibu bapa / penjaga dan murid yang bergejala tidak dibenarkan memasuki kawasan prasekolah.
  3. Memastikan ibu bapa / penjaga tidak memasuki kelas prasekolah / tabika / tadika.
  4. Mencuci tangan dengan air dan sabun atau pensanitasi tangan (hand sanitizer) sebelum serta selepas aktiviti PdP.
  5. Memastikan murid mencuci tangan sebelum dan selepas aktiviti PdP.
  6. Memastikan aktiviti berkumpulan atau aktiviti yang melibatkan sentuhan tidak dilaksanakan.
  7. Memastikan murid tidak berkongsi bahan dan peralatan.
  8. Membersihkan (disinfeksi) bahan dan peralatan selepas digunakan.
  9. Menghidangkan makanan di tempat yang disediakan.

Ibu Bapa / Penjaga
  1. Memastikan anak / anak jagaan berada dalam keadaan sihat sebelum hadir ke prasekolah / tabika / tadika. Anak / anak jagaan yang tidak sihat tidak dibenarkan hadir.
  2. Memastikan anak / anak jagaan menjaga kebersihan diri.
  3. Menghantar dan mengambil anak / anak jagaan mengikut waktu yang ditentukan.
  4. Menggalakkan anak / anak jagaan memakai pelitup muka. Anak / anak jagaan berimuniti badan yang rendah mesti sentiasa memakai pelitup muka manakala anak / anak jagaan yang tidak boleh mengurus pemakaian pelitup muka tidak perlu memakainya.
  5. Mematuhi tatacara pelawat masuk ke premis prasekolah / tabika / tadika semasa menghantar dan mengambil anak / anak jagaan.
  6. Memastikan anak / anak jagaan tidak membawa beg sekolah dan bekalan makanan / minuman (pengecualian diberikan kepada anak / anak jagaan yang memerlukan makanan khas dengan kebenaran pihak pentadbir sekolah).
Kredit Foto: Google


Waktu Tiba dan Pulang

Waktu Tiba
  1. Guru / PPM merekodkan suhu badan murid di hadapan ibu bapa / penjaga sebelum masuk ke kelas. Jika suhu badan murid mencecah 37.5⁰C dan ke atas, ibu bapa / penjaga perlu membawa pulang anak / anak jagaan untuk mendapat rawatan.
  2. Murid mesti mencuci tangan sebaik tiba di kelas.
  3. Murid duduk di tempat yang telah ditetapkan.
  4. Murid bersarapan dan melakukan aktiviti di tempat masing-masing.
  5. Guru / PPM memastikan tiada percampuran antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain.


Waktu Pulang
  1. Guru memberikan pesanan dan bahan tugasan dengan kaedah yang selamat kepada ibu bapa / penjaga tentang aktiviti pembelajaran di rumah.
  2. Ibu bapa / penjaga digalakkan membawa anak / anak jagaan terus pulang ke rumah selepas sesi persekolahan.

Jika dilihat, banyak juga norma baharu yang dipraktikkan dalam SOP untuk dipatuhi pihak pentadbir Tadika, prasekolah. Sungguhpun begitu, tidak adil jika semuanya diserahkan bulat-bulat dibahu guru-guru. Sebaliknya, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mengingatkan anak-anak mengenai kepentingan penjagaan kesihatan dan kebersihan dari rumah.


Kredit Foto: Google


Sememangnya amalan kebersihan diterapkan dalam kalangan anak-anak di Tadika masing-masing. Tetapi ia lebih mudah dilaksanakan sekiranya ibu bapa turut memainkan peranan sama dan memberi penekanan dalam soal didikan ini. Mungkin kedengaran mencabar apatah lagi bagi anak-anak berumur empat, lima dan enam tahun. Namun inilah yang harus kita biasakan dalam mengadaptasi norma baharu.
Semoga anak-anak kita dilindungi dan dapat menjalani norma baharu di Tadika, prasekolah masing-masing dalam suasana yang selesa sekali gus membangkitkan kembali keterujaan mereka untuk ke sekolah.