Personaliti
Persahabatan Kekal Berpuluh Tahun – Rahsianya Harus Ada Sayang, Ikhlas, Keserasian dan Ambil Berat
Kawan baik adalah lambang bahawa hidup kita dikelilingi dengan kasih-sayang, kegembiraan dan rencah warna. Kita boleh hidup dengan hanya pasangan dan keluarga, namun sesekali pastinya kita mahu ada orang lain hadir dalam kehidupan kita sebagai penambah cerita.
Ada orang mampu mempertahankan persahabatan mereka dari kecil sampai mereka dewasa. Ada yang dari bangku sekolah, hingga ke alam pekerjaan dan beranak-pinak masih memiliki kawan baik itu bersamanya.
Jarak dan masa tidak menjadi alasan untuk mereka saling berhubungan, berkongsi masalah, suka duka dan sentiasa ada setiap kali diperlukan. Itulah namanya sahabat yang seharusnya kita jaga sebaik mungkin kerana ia satu dalam seribu.
Kredit foto: Google
Bagaimana Mengekalkan Hubungan Persahabatan Bertahun Lamanya?
Bukan mudah untuk mengekalkan hubungan antara dua individu yang langsung tiada pertalian darah. Namun, ia boleh dijalinkan dengan keikhlasan dan kasin-sayang ke dua pihak untuk memastikan hubungan persahabatan terus mekar walau dimamah usia.
Ada yang kata sahabat yang baik itu tidak perlu selalu berhubungan, dalam hati masing-masing tahu yang mereka ada sudah memadai. Bagi penulis sebaliknya. Bagaimana untuk hubungan itu terus subur kalau tidak selalu disiram dibajai?
Begitulah dengan hubungan antara dua sahabat. Ia tidak boleh hanya kekal statik dengan berkata aku ingat kau, kau ingat aku sudah. Namun, jarang sekali berkomunikasi atau bersua walau seketika atau setahun sekali.
Itu bukan sahabat namanya, itu hanya kenalan yang kamu kenal namanya dan ada sedikit kenangan lalu bersama. Sahabat yang setia itu haruslah selalu berhubungan sama ada di alam maya atau realiti.
Selalulah bertanya khabar. Zaman sekarang sudah ada pelbagai platform yang menghubungkan tidak kira masa dan tempat. Jadi, apa alasan untuk berkata walaupun kita jarang berhubungan tapi aku ingat kau?
Ambil peduli untuk setiap perkembangan dirinya dan orang di sekelilingnya juga. Jika sahabat dalam kesulitan, sebagai kawan baik kita harus sentiasa berada di barisan hadapan untuk sedia menghulurkan bantuan.
Bantuan itu pelbagai, sama ada daripada segi wang ringgit, tenaga, kehadiran, memberi nasihat atau buah fikiran dan membantu apa yangn terdaya. Janganlah memberi alasan kerana jauh atau tiada masa, membuatkan kita tiada saat sahabat memerlukan.
Kredit foto: Google
Bersahabatlah Dengan Seikhlas Hati
Hati yang ikhlas itu bagaimana? Bukan senang untuk ‘scan’ hati seseorang itu kerana ikhlas itu sangat tersirat. Sebenarnya, ikhlas itu boleh kita rasa dan baca kalau kita benar-benar kenal sahabat kita.
Ikhlaskan hati dalam bersahabat bermaksud kita berkawan dengannya bukan atas apa-apa ‘tiket’ atau sebab khas. Kita kawan dengannya kerana kita suka dia menjadi sahabat kita, sayang dia kerana dirinya, kita selesa dan percayakan dia dengan seluruh jiwa.
Daripada situ, kita dapat rasa setiap perbuatannya terhadap kita adalah telus tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Dia suka kita seadanya. Dia terima baik dan buruk kita tanpa perlu meminda walau satu pun.
Baik kita dia puji, buruk kita dia tegur secara terus. Dia sentiasa mahu melihat sahabatnya hidup dengan kegembiraan dan turut berdukacita andai sahabatnya ditimpa ujian dan kesempitan. Sedaya mungkin dia akan cuba membantu.
Itulah sahabat. Apatah lagi jika tempoh berkawan itu berpuluha tahun, pasti keserasian itu lebih daripada adik-beradik sendiri. Bukan mudah ya membina hubungan yang makan bertahun-tahun. Sekiranya hubungan ditimpa badai, ia dipulihkan segera.
Kredit foto: Google
Titipkan Doa Buat Sahabat Setiap Hari
Doa adalah senjata umat Islam, jadi mengapa tidak digunakan sebagai senjata kita mengenggam erat sahabat kita agar kekal berkasih-sayang hingga akhir hayat kita. Rasulullah sendiri mempunyai sahabat-sahabatnya yang sangat akrab sehingga mereka ditimpa kesedihan yang amat sangat saat baginda nabi menghembuskan nafas terakhir.
Begitulah kita sebagai manusia biasa seharusnya memandang tinggi nilai sahabat itu. Hargailah dirinya dengan cara yang mereka suka dan selesa. Raikan mereka sebagai cara kita berkongsi apa jua keriangan mereka.
Turutlah sama mendengar keluhan dan masalah mereka andai mereka ditimpa musibah dan bencana. Jangan pula melarikan diri. Ingatlah kehidupan ini bagaikan roda yang berputar. Letakkan diri kita di tempatnya, kalau saat kita dalam kesusahan dan kawan lari, apa rasanya?
Selain itu, sedekahkan doa buat sahabat-sahabat yang kita sayang dalam setiap sujud kita. Mohon semoga persahabatan kalian diberkati hingga ke syurga. Doakan juga kehidupan mereka sentiasa dirahmati dan berlangsung baik-baik adanya kerana doa kita kepada orang lain akan turut berbalik kepada kita satu masa nanti.
Must-Watch Video