Sedikit demi sedikit kelonggaran diberi kepada kita untuk memudahkan pergerakan sepanjang tempoh PKPB ini. Daripada dibenarkan keluar berdua, kini boleh keluar berempat dan tiada had radius atau jarak kecuali rentas negeri yang masih berkuatkuasa.

Memandangkan kini hanya berbaki 10 hari menjelang Aidilfitri, banyak pusat membeli-belah mengadakan jualan murah di sana sini. Namun demikian, ia bukan alasan terbaik untuk ibu bapa keluar membawa anak terutamanya yang masih kecil bersesak-sesak dengan orang ramai. Mereka juga berisiko untuk dijangkiti sementelahan tidak mempunyai sistem imun dan daya ketahanan badan seperti orang dewasa.

Mungkin ada dalam kalangan ibu bapa yang memberi alasan tiada siapa boleh tengokkan anak mereka jika tidak dibawa keluar bersama. Lantaran itu, biarlah wakil keluarga, ibu atau bapa sahaja yang keluar membeli barang keperluan seperti sebelum ini. Ya, ramai juga maklum sudah mula ‘tepu’ duduk dirumah lama-lama tetapi kita tidak punya pilihan lain melainkan itu sahaja. Kerana pada hakikatnya, duduk dirumah adalah tempat paling selamat untuk mengelakkan dijangkiti atau terdedah dengan risiko penularan pandemik ini.


Kredit Foto: Google


Ada kewajarannya apabila muat naik perkongsian laman Facebook Public Health Malaysia, tentang perihal ini.

Terdapat beberapa perkongsian yang dihantar menunjukkan beberapa ibu bapa yang membawa anak keluar ke pusat membeli belah pada waktu ini.
Lebih mengejutkan, ibu bapa memakai topeng muka, tetapi anak dibiarkan berkejaran didalam pasar raya tanpa perlindungan. Situasi ini sama seperti ibu bapa yang memakai topi keledar tetapi membiarkan anak tanpa topi keledar membonceng di hadapan/ belakang.

Anak anak yang berusia dua tahun ke bawah tidak digalakkan memakai topeng muka, oleh itu mereka sewajarnya terus berada di rumah dan tidak dibawa ke tempat yang sesak.

Walaupun tiada sekatan sedemikian di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa, namun adalah menjadi tanggungjawab keluarga untuk tidak mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya.

Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk melindungi anak-anak yang masih kecil. Ini bukan masanya mahu bawa keluar naik motosikal bersiar-siar di waktu petang sementara menunggu waktu berbuka puasa. Bukan juga pilihan yang tepat membawa mereka keluar ‘shopping’ raya dek kerana teruja melihat pelbagai diskaun, jualan murah di sana sini.

Kredit Foto: Google


Walaupun dipakaikan faceshield seperti ini, namun keberkesanannya tidak dapat dipastikan. Malah pemakaian topeng muka juga tidak sesuai dipakai oleh kanak-kanak dibawah umur dua tahun. Juga jangan pula dijadikan alasan memakaikan faceshield ini dan diusung juga anak ke pusat beli-belah. Ibu bapa diingatkan agar jangan bersikap mementingkan diri, sambil lewa atau seolah-olah tidak ambil tahu tentang bahayanya pandemik ini hatta kepada anak kecil sekalipun.

Seeloknya, duduk dirumah dan lakukan pembelian secara online. Anggap saja ini jihad kita untuk memastikan rantaian jangkitan Covid-19 berjaya diputuskan. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk mendisiplinkan anak dan terus melindungi nyawa mereka daripada bahaya virus ini.



Facebook Public Health Malaysia