Sempena cuti hujung minggu, Raden luangkan masa berkumpul bersama keluarga di rumah. Kami ‘pot luck’ memasak aneka juadah. Sebagai tuan rumah, Raden gigihkan diri sambil bersilat didapur menyediakan nasi, ikan bakar, air asam kicap dan ketam telur masin. Manakala Dewi membawa signature dishnya udang salut mentega dan daging lada hitam. Ratna pula dengan menu sotong goreng tepung, sup sayur dan sambal. Kata Dewi usai masuk ke dapur mencari bekas untuk menghidangkan masakannya, “Aku dah pesan Umi tak payah nak masak. Tapi biasalah, dia tetap nak menyelit. Ni ha, cucur ikan bilis dan bubur jagung kesukaan kau” ngomelnya lagi sambil mengunjukkan bekas makanan dan disambut dengan senyum Raden yang umpamanya lebar hingga telinga. Sudah lama tidak makan menu ringkas air tangan Umi. Tercari-cari kelibat Umi, Naz berkata Umi masuk ke biliknya untuk solat maghrib.


Kredit Foto: Google

Usai Abang Iskandar membaca doa ringkas, acara makan-makan pun bermula. Bersilang-silang tangan masing-masing mahu mengambil itu dan ini. Meriah dan gegak gempita suasana rumah kami. Dan suasana seperti inilah yang membuatkan Raden rindu dan mensyukuri dianugerahkan keluarga yang pada Raden serba sempurna sahaja. Sambil duduk makan dan bersantai, Ratna mengeluarkan kalendar. “Dah alang-alang semua ada, apa kata kita plan percutian keluarga. Tapi perlu pastikan semua ada. Barulah best” ujarnya sambil menyelak helaian demi helaian kalendar mencari tarikh yang sesuai buat semua. “Okay juga. Tahun lepas kita tak pergi mana-mana pun sebab sibukkan minah ni nak kahwin” tutur Dewi sambil menyiku lengan Raden. Dan Raden hanya mampu tersenyum dengan riak wajah selamba.


Memandangkan tiada anak-anak Dewi mahupun Ratna yang bakal menduduki peperiksaan besar, maka kami sepakat memilih untuk mengadakan percutian keluarga usai virus covid-19 pulih sepenuhnya. Dan dalam keriuhan semua bergurau senda, ‘membawang’ tidak sedar jam sudah menginjak satu pagi. Sekitar jam dua pagi ahli keluarga Raden beransur pulang ke rumah masing-masing. Tinggallah kami berdua berkemas. Jika diikutkan hati mahu sahaja Raden menyambung mengemas keesokan pagi. Tetapi melihat Naz yang bingkas mengambil penyapu dan mengelap itu dan ini, Raden gagahkan juga membasuh sisa mangkuk pinggan di dalam sinki. Terdetik dalam hati kecil, ‘Ini belum ada anak lagi, dah malas nak mengemas. Kalau ada anak nanti macam manalah agaknya’ dan tiba-tiba Naz menepuk bahu Raden.


“Jauh termenung nampak? Fikir apa pula? Sakan saya tengok awak bergosip tadi,” tuturnya singkat. Dan Raden tertawa sahaja. “Tiada apa-apalah. Baru ajak adik-beradik saya makan-makan di rumah pun dah penat. Ini belum ada anak lagi. Kalau ada anak nanti tak tahulah macam mana,” bebel Raden lagi. Naz sekadar menguntum senyum sambil tangannya bingkas mengelap dapur dan meja. “Insya-Allah, kita sama-sama gotong-royong ya. Kalau dalam bahasa kasar buat anak pun gotong-royong, kemas rumah dan jaga anak pun kenalah gotong-royong juga,” ulasnya sambil tersenyum nakal. “Esok kita pergi rumah Along okay. Dia call tadi ajak kita pergi rumah baru dia,” tuturnya lagi dan Raden mengangguk setuju.


Kredit Foto: Google

Dan seperti yang dijanjikan, bertolaklah kami ke Sunway Rydgeway nun di Taman Melawati. Along adalah abang sulung dalam kalangan mereka enam adik-beradik, tiga lelaki dan tiga perempuan. Naz pula adalah anak kelima dan mempunyai seorang adik perempuan. Sejak tiga bulan berkahwin inilah kali pertama Raden dibawa ke rumah adik-beradiknya. Dan sepanjang perjalanan, sempat lagi Naz brief serta berkongsi serba-sedikit maklumat mengenai abangnya yang satu ini. “Saya dengan Along okey, kami memang ngam. Kalau bergaduh itu biasalah. Dah nama pun adik-beradik kan, kalau tak bergaduh tak best pula. Cuma Kak Long aje ‘kureng’ sikit. Mak pun tak berapa berkenan waktu mula-mula Along bawa dia balik kampung jumpa Mak dan Ayah. Dia anak orang kaya, keluarga pun ada perniagaan sendiri. Kalau balik kampung lepas kahwin dulu tak pandai nak bawa diri, mulut tu berat sungguh nak bermesra dengan saudara-mara. Dia ni kadang-kadang feeling sikit,” belum sempat Naz menyambung ulasan ringkasnya Raden pintas, “Siapa nama dia?” soal Raden dan dalam fikiran sudah mula mencongak mahu stalk Instagramnya jika ada. “Intan Norashikin” jawab Naz tanpa menyangka Raden mahu selidik selok-belok peribadinya.


Mujurlah ada teknologi dan laman sosial kini yang memudahkan kita untuk sekurang-kurangnya membuat tinjauan awal. Dan hasil ‘stalk’ yang Raden lakukan (mujurlah dia tidak ‘private’kan instagramnya). Maka benar bagai dikata. Naz terus dengan bebelan namun Raden sekadar bena tak bena mendengarnya. Ralit dan asyik pula melihat-lihat koleksi setiap foto yang dimuat naik. Dan sedihnya dalam ratusan foto yang dimuat naik itu hanya sekeping dua sahaja gambar keluarga suaminya. “Pada hal keluarga awak boleh tahan juga meriah dan happening. Tapi dia macam tak hargai aje,” terpacul daripada mulut Raden dan bingkas Naz mencelah, “Awak stalk IG dia ke?” Inilah kerja orang perempuan zaman sekarang. Sibukkan hal orang lain. Jangan percaya apa yang awak tengok tu. Semua itu palsu semata-mata,” leternya lagi.


Jika mahu diukur daripada segi cita rasa, boleh tahan juga. Check in sana-sini, beli-belah itu ini dan bermacam-macam lagi. Tetapi sebagai ahli baru dalam keluarga Naz, pada Raden tidak adil jika minda ini telah diprogramkan dengan sifat yang bukan-bukan. Raden cuma mahu ‘play safe’ dan just go with the flow. Dan tidak lama kemudian kami pun tiba di rumah Along. Dari luar terlihat deretan kereta-kereta import seperti Toyota Vellfire, BMW, Mercedes, Volkswagen dan Audi. Usai memberi salam dan bersuai kenal dengan seorang demi seorang anak-anak Along, tiba-tiba muncul kelibat Kak Long dari dapur. “Wah biras baru datang rumah I lah. Eh, jemput duduk. Maaflah Kak Long lupa nama you. Yang tahu Raden aje. What’s your full name by the way?” soalnya lagi. “Raden Suntiwijaya” jawab Raden penuh yakin. “Wow, what a name! Ada kacukan dengan keturunan seberang ke?” soalnya lagi seakan ramah sekali mahu tahu selok-belok Raden. “Ada, keluarga sebelah arwah Walid. Keturunan dari Acheh” hurai Raden lagi. Dalam pada itu sempat mata Raden mengerling segenap ruang tamu. Kemas dan tersusun rapi semuanya. “Cantik dan kemas rumah Kak Long. Pandai menghias, untunglah Along” ujar Raden sekadar mencetuskan suasana lebih ceria.


Kredit Foto: Google

“Eh memang untung besar Along, Raden. Cuma rugi sikit bab makan aje. Sebab Kak Long awak ni jarang masak. Tapi sesekali masak tu boleh tahan sedap. Alangkah bagusnya kalau tiap-tiap hari you masak Yang,” hurai Along lagi. “Kak Long bukan tak nak masak. Hujung minggu aje baru rajin nak masak. Hari bekerja memang bibik yang masakkan. Sibuk Raden, tak terkejar dibuatnya,” ulasnya lagi memberi jawapan selamat. “Eh, itu standard skrip Kak Long dari dahulu lagi. Come on Kak Long, dah 2018 ni. Cari punch line lagi power lah,” celah Naz berseloroh namun agak sinis sindirannya. “Kau ni kan Naz, ish!” ujar Kak Long seraya membaling kusyen kecil ke arah muka Naz. Tidak lama kemudian, kami dijemput ke ruang makan. Terbentang aneka lauk-pauk yang menyelerakan. Masak lemak ketam cili padi, sambal tumis udang, ayam goreng, asam pedas ikan pari dan sayur pak choy cukup untuk membuatkan Raden kenyang hingga ke malam hari. “Okay sebelum you all berdua tanya mana yang Kak Long masak, ni ha rasa,” ujarnya sambil menceduk masak lemak ketam cili padi ke dalam pinggan Raden. “Okay Kak Long boleh resign corperate comms dan buka restoran,” kata Naz pula sambil satu persatu nasi disuap. “Aik, tadi perli ni nak bodek pula. Kau ni memang tak berubah kan,” ujarnya lagi membidas kenyataan Naz sebelum ini.


Dan usai sesi menambah nasi, kami duduk lagi berborak. “Okay, let’s cut it short. Bila nak hadiahkan anak buah perempuan untuk we all? Tak payah nak honeymoon sangat. Lagipun umur you all pun bukan makin lama makin muda kan?” bebelnya lagi. Tiba-tiba terlintas dalam fikiran Raden, boleh tahan ‘kak nam’ juga biras aku ni. Menyibuknya dia macam makcik yang kepoh dalam drama di televisyen. Kata orang kaya, ada perniagaan keluarga bagai. Tapi macam tiada ‘kelas’ pula bab ini. Masya-Allah, mudah sekali bisikan kecil jahat itu meracuni pemikiran Raden. “Insya-Allah, kalau ada rezeki. Kami tak rancang pun Kak Long. Kalau ada, adalah. Kalau tiadapun tunggu aje. Tak payah nak stress sangat. Kualiti lagi penting dari kuantiti Kak Long. Kalau keluar sekali kembar kan bonus tu!” hurai Naz sambil mencuit bahu Raden. “Yalah, you ni. Pandai-pandailah ‘diaorang’ susun atur hidup sendiri. Kita tunggu dan berdoa aje,” balas Along cuba untuk menjernihkan keadaan. “I bukan nak menyibuk tapi yalah orang muda zaman sekarang ni susah nak faham cara pemikiran ‘diaorang’. Sampai bila nak berkepit berdua aje ke sana-sini. Kalau ada masalah boleh berbincang atau pergi jumpa doktor dapatkan rawatan. Kalau you all nak Kak Long ada ramai kenalan yang pakar dalam bab sakit puan dan sakit tuan ni,” ngomelnya Kak Long lagi. Dan Raden mula tidak selesa. Seakan memahami reaksi spontan, Naz mengusap lembut lengan Raden. “Ish you ni, sampai ke situ pula. Sudah-sudahlah tu. Kak Long ni memang macam mak nenek yang kat kampung tu. Menyibuk tak tentu pasal kenapa entah? You tak sihat ke Yang? Buang tebiat ke?” seloroh Along pula dan disambut dengan cubitan di pahanya. “Kak Long bukan nak menyibuk, cuma ambil berat aje. Ya lah, keluarga kita dah lama sangat tiada baby. Paling kecil pun si Aina anak Kak Teh yang dah tujuh tahun tu,” leternya lagi.


Kredit Foto: Google

Sebenarnya Raden akui kurang senang jika ada yang sibuk bertanyakan mengenai perihal anak. Dan barulah Raden faham situasi yang selama ini diceritakan oleh rakan-rakan Raden sebelum ini. Soal anak sama juga perjalanannya dengan perihal jodoh. Sama ada cepat atau lambat dan sabar atau tidak sahaja. Ini baru enam bulan sudah menyibuk tak tentu pasal. Kalau setahun dua belum dikurniakan rezeki, bagaimanalah agaknya bebelan Kak Long. Dan barulah Raden faham mengapa Naz mengatakan kakak iparnya ini ‘kureng’ sikit. Soal menyibuk perihal orang lain membuatkan Raden kurang senang. Namun cepat-cepat Raden ingatkan diri agar lebih positif dan cuba memberi ruang dan masa untuk menerima serta memahami fiilnya. Lain orang, lain ragamnya. Namun pada Raden, jika mahu ‘menyibuk’ pun biarlah berpada-pada. Tidak perlu membuatkan orang lain terutama ahli keluarga baru tidak selesa dengan penerimaan anda. Fahami situasi, kenali peribadi dan cuba alu-alukan kedatangan ahli keluarga baru dalam cara yang merendah diri tanpa menyakiti hati atau menyinggung perasaan sesiapa. Bukankah itu lebih ‘kelas’?