Lifestyle
Inilah Tiga Orang Pertama Menaikkan Jalur Gemilang Ketika Pengisytiharan Kemerdekaan 1957
Tanggal 31 Ogos 1957 menjadi tarikh keramat bagi Malaysia apabila Persekutuan Tanah Melayu telah diberikan kemerdekaan yang paling dinanti-nantikan.
Bertempat di Stadium Merdeka, tepat jam 9.30 pagi, 20,000 orang rakyat jelata termasuklah Raja-Raja Melayu dan tetamu-tetamu khas luar negara menjadi saksi detik wakil Queen Elizabeth II, Duke of Gloucester menyerahkan Watikah Perlembagaan kepada Perdana Menteri menandakan berakhirnya naugan British ke atas Tanah Melayu.
Setelah laungan keramat Merdeka dilaungkan sebanyak tujuh kali, ia diikuti dengan seruan azan dan seterusnya acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu (kini dikenali sebagai Jalur Gemilang) diiringi lagu Negaraku.
Namun, sedang semua mata hadirin tertumpu kepada bendera Persekutuan Tanah Melayu yang menjadi kebangaan setiap rakyat jelata, ada tiga orang lelaki yang gemuruh berbaur sebak sedang menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu di tengah-tengah Stadium Merdeka ketika itu.
Mereka adalah Allahyarham Bintara Kanan (BK) Awang Salleh, Laskar Kelas I (LK I) Mohd Sharif Kalam (bersara pangkat Leftanan Komander) dan Laskar Kanan Oliver Cuthbert Samuel (bersara sebagai Bintara Kanan).
Tugas menaikkan bendera itu adalah kerja sepasukan. Allahyarham BK Awang merupakan penyelia tugas, LK Oliver memegang talinya dan LK I Mohd Sharif pula memegang bendera untuk dinaikkan.
Istimewanya lagi tentang tiga perwira ini, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama Arkib Negara Malaysia (ANM) telah mendokumentasikan sejarah pengkisahan tiga penaik bendera Persekutuan Tanah Melayu kerana peristiwa ini merupakan warisan bernilai kepada kemerdekaan negara sekaligus mengiktiraf sumbangan dan jasa mereka.
Bagi Mohd Sharif Kalam, jika sebelum ini beliau sering ditugaskan untuk menaikkan panji-panji TLDM tatkala adanya majlis rasmi, tugasnya pada 31 Ogos 1957 agak berbeza kerana beliau perlu menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu secara rasmi buat pertama kali untuk dipersembahkan kepada orang ramai.
"Pakcik dipilih melakukan tugas itu ketika baru berusia 20 tahun dan sudah dua tahun bekerja. Diberi kepercayaan yang tinggi oleh ketua unit untuk melaksanakan tanggungjawab itu, walaupun pada hakikatnya pakcik hanyalah seorang laskar biasa di bahagian komunikasi TLDM ketika itu cukup bermakna", katanya menerusi Bernama.
Bagi Oliver Cuthbert Samuel pula, tempoh tiga minit menaikkan bendera itu merupakan kenangan yang tidak akan luput daripada ingatan hingga hujung nyawa. Anak jati Ipoh ini telah menabur bakti dalam mempertahankan kedaulatan tanahair selama 22 tahun dan telah bersara pada tahun 1974.
“Apa yang saya bimbangkan adalah tali bendera putus kerana ketika itu apa sahaja boleh berlaku. Malah, sebelum menaikkan bendera, saya beberapa kali memeriksa talinya bagi memastikan ia baik dan sempurna”, ujarnya kepada Berita Harian.
Empat hari diperuntukkan oleh mereka bertiga untuk melihat bagaimana proses itu dilakukan dan berlatih menaikkan bendera berkenaan di Depoh Latihan Polis (kini Pusat Latihan Polis) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur untuk memastikan upacara itu berjalan dengan lancar.
Pastinya perasaan menjadi yang pertama menaikkan dan mengibarkan bendera Persekutuan Tanah Melayu itu akan dikenang sehingga ke akhir hayat. "Pakcik ingat lagi saat bendera dinaikkan, Stadium Merdeka yang dipenuhi hadirin senyap sunyi bagi memberi penghormatan kepada lagu Negaraku.”
61 tahun peristiwa itu berlalu, pasti setiap tahun menjadi kenangan terindah buat Mohd Sharif Kalam dan Oliver Cuthbert Samuel. Setiap kali menjelang sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan negara, hati mereka pasti bercampur baur antara sedih dan gembira tatkala mengenangkan semula pengalaman yang telah dilaluinya dahulu.
Semangat mengibarkan Jalur Gemilang seharusnya diterapkan dan diamalkan oleh setiap individu di Malaysia terutamanya golongan millennial. Jadikan tabiat ini sebagai sesuatu yang 'cool' dan inilah salah satu cara anda tunjukkan rasa sayang dan cinta pada negara.
Must-Watch Video