NEWS
7 Lokasi Air Bukit Terkenal Sebenarnya Berisiko Kanser
Faktor cuaca panas kering yang melanda negara ketika ini nampaknya bukan sahaja menyebabkan penggunaaan elektrik menjadi semakin tinggi. Malah, ia turut meningkatkan penggunaan air khususnya sebagai minuman bagi menggantikan mineral yang hilang ketika berpeluh. Namun berhati-hatilah dengan sumber air yang diperolehi kerana bukan semua sumber dirasakan bersih serta berkhasiat itu baik untuk sistem badan.
Jangan terkejut kerana kajian kuantitatif pelajar Sarjana Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati, tujuh lokasi air bukit yang sering menjadi tumpuan segelintir rakyat negara ini, sebenarnya boleh menyebabkan kanser! Pakar Kesihatan Persekitaran dan Toksikologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof Madya Dr Mohd Hasni Jaafar berkata, penemuan itu mengejutkan kerana air yang disangka berkhasiat itu sebenarnya mempunyai kandungan kadmium yang lebih tinggi daripada dibenarkan.

Pakar Kesihatan Persekitaran dan Toksikologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof Madya Dr Mohd Hasni Jaafar
"Untuk penggunaan jangka panjang, kandungan kadmium tinggi boleh menjadi punca penyakit kanser, buah pinggang, urat saraf dan otak kerana bahaya di dalamnya yang tidak sesuai untuk digunakan sebagai minuman ataupun di dalam masakan. Selain itu, ia boleh mendatangkan pelbagai masalah ketumbuhan dalam sistem badan manusia selepas tempoh antara 15 hingga 20 tahun akan datang. Lebih teruk, ia akan mengganggu sistem buah pinggang, urat saraf, hati dan pemikiran manusia."
Mengenai keputusan analisis air bukit di tujuh kawasan berkenaan, Mohd Hasni berkata, ia adalah di Sungai Tekali, Alam Damai, Jalan Sungai Tua Ulu Yam, Batu 18 Hulu Langat, Sungai Gahal Hulu Langat, Bukit Ampang dan Lebuh Raya Silk.
Menurutnya, hasil ujian air bukit yang mengalir di Sungai Tekali contohnya mendapati, mata air yang kononnya didakwa menyihatkan dan telah digunakan hampir 40 tahun sebenarnya mengandungi kadmium sehingga tujuh kali ganda lebih tinggi iaitu 21.50 bahagian per bilion (ppb) berbanding hanya 3.00 ppb yang dibenarkan dalam air minuman.


Orang ramai menadah air bukit di Sungai Tekali (Imej: http://www.malaysianplaces.me)
"Mata air di tepi jalan Persiaran Alam Damai pula mendapati, kandungan kadmium ialah 15.22 ppb. Selain itu, di Lebuh Raya Silk, yang sering menjadi tumpuan, air bukit di situ sebenarnya mempunyai kepekatan kadmium tujuh kali ganda lebih tinggi iaitu 21.29 ppb," jelasnya. 
Orang ramai menadah air bukit untuk kegunaan minuman di Lebuh Raya Silk
Lokasi lain Batu 18 Hulu Langat pula katanya menunjukkan kandungan kadmium 21.87 ppb, juga melebihi tujuh kali ganda tahap sihat dibenarkan iaitu hanya 3.00 ppb. Manakala hasil analisis air di Jalan Sungai Tua Ulu Yam, pula didapati, air yang disangka mampu menyegarkan dan mencerahkan mata rupanya mempunyai kandungan bahan logam kadmium dan plumbum yang tinggi.

Seorang pengguna air bukit di kawasan kaki bukit menghala ke Ulu Yam berhampiran pusat rekreasi Hutan Lipur Sungai Tua menadah air. (Imej: http://www.sinarharian.com.my)
"Kandungan kadmium direkod adalah 23.00 ppb manakala plumbum pula 21.02 ppb, melebihi dua kali tahap dibenarkan iaitu 10.00 ppb dan lebihan air yang masuk ke rongga ini boleh menyebabkan kemudaratan pada hari tua," katanya.Ujian air di Bukit Ampang pula mendapati tahap kadmium dan plumbum tercemar dengan masing-masing tinggi pada bacaan, 23.00 ppb dan 37.34 ppb manakala di Sungai Gahal, Hulu Langat paras kadmium berada pada tahap 8.92 ppb.
"Saya ingin nasihatkan pengguna supaya hentikanlah tabiat mendapatkan air percuma ini sebelum meracuni diri dan keluarga. Jangan disebabkan cuaca elnino ketika ini, kita menjadi taksud terhadap air di bukit-bukit ini yang terbukti sebenarnya boleh memudaratkan manusia," katanya.
Must-Watch Video