Seramai 33 individu termasuk pelajar dan guru sebuah sekolah di negeri ini disyaki dijangkiti wabak Probable Leptospirosis atau kencing tikus selepas mengunjungi Kolam Air Panas Jasin, sejak minggu lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM), Dr. Ruzita Mustaffa berkata, pada 7 Jun lalu Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah telah menerima notifikasi mengenai sekumpulan pelajar mengalami gejala selepas mengikuti program terapi air di pusat rekreasi berkenaan.

Jelasnya, gejala yang dialami adalah demam, batuk, selesema dan sakit badan.

“Seramai 15 pelajar, sembilan guru dan tiga penjaga telah mengalami gejala selepas ke kolam tersebut pada 5 Jun lalu. Lima daripada mereka iaitu empat pelajar dan seorang penjaga telah dimasukkan ke wad Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

“Manakala individu bergejala yang lain telah diberi rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan (KK) Ayer Keroh,” katanya dalam satu kenyataan.

BERITA TRENDING: Restoran Biar Tikus Berkeliaran Di Kawasan Restoran Buat Pelanggan Kembang Tekak - “Aku Tak Akan Makan Sini Lagi Dah!”

BERITA TRENDING: Pelakon Wanita Terima Hadiah Tikus Mati, Foto Diconteng Mantera

BERITA TRENDING: Lucu Betul! Rupanya Rambut Ramlah Ram Pernah Dibawa Lari Tikus!

BERITA TRENDING: Bulu Binatang, Najis Tikus Bertaburan Ditemui Di Kilang Kicap & Roti

BERITA TRENDING: Heliza Helmi Menangis Teresak-Esak! Moji Mati Akibat Kanser

Ujarnya, sampel klinikal pesakit telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kesihatan (MKAK) Sungai Buloh untuk ujian pengesahan Leptospirosis.

“Selain daripada itu, sebanyak enam kes baharu disyaki Leptospirosis telah dikesan dalam kalangan orang awam yang berkunjung ke Kolam Ayer Panas Jasin dari 7 Jun 2024 hingga 11 Jun 2024.

“Setakat ini jumlah keseluruhan kes yang disyaki adalah 33 kes. Kesemua kes masih menunggu keputusan ujian pengesahan,” ujarnya.

Tambahnya, penilaian risiko yang dijalankan mendapati lokasi itu mempunyai persekitaran yang kondusif untuk penularan penyakit kencing tikus dan sampel persekitaran turut di hantar ke MKAK Sungai Buloh untuk ujian pengesahan.

Ruzita berkata, sebagai langkah kawalan, pusat rekreasi tersebut telah diarahkan ditutup serta-merta selama 14 hari bermula 8 Jun 2024 dan pengusaha diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan.

“Pengusaha juga diminta untuk menukar air kolam secara kerap dan berjadual, menjaga kebersihan, dan memastikan tiada infestasi tikus atau haiwan pembawa penyakit lain,” katanya.

Sumber: Bernama melalui Awani