Golongan wanita direkodkan sebagai paling ramai yang menjadi mangsa penipuan dalam talian atau scammer.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai, statistik yang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat dua tahun kebelakangan ini menunjukkan, mangsa penipuan membabitkan pelbagai jenayah dalam talian melibatkan kaum wanita lebih tinggi berbanding lelaki.

Beliau berkata, purata umur paling tinggi menjadi mangsa ialah antara 17 hingga 40 tahun memandangkan golongan itu paling banyak menggunakan media sosial di negara ini.

Jelasnya, antara kes penipuan yang sering menjerumuskan kaum wanita sebagai mangsa adalah membabitkan jenayah 'Love Scam' dari pelbagai platform media sosial termasuk Facebook.

"Antara kes yang paling banyak melibatkan penipuan membabitkan pembelian dalam talian, Macau Scam yang cenderung kepada penipuan atau ugutan seperti panggilan penyamaran dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan sebagainya, ‘Love Scam’, penipuan pinjaman yang tidak wujud dan juga penipuan pelaburan.

"Statistik untuk tempoh dua tahun kebelakangan ini menunjukkan lebih 45 peratus daripada mangsa penipuan adalah membabitkan lelaki dan 55 peratus adalah dari kalangan kaum wanita.

"Ramai diantaranya adalah kes membabitkan 'Love Scam'," katanya seperti dilapor Awani pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebahagian daripada kes 'Love Scam' yang dilaporkan sering menjadikan wanita kesunyian atau sedang mencari pasangan sebagai sasaran mudah mereka.

Golongan itu, tegas Eng Lai, lebih terdedah dengan risiko penipuan tersebut jika mereka tidak berhati-hati ketika menggunakan sosial media.

Rekod semasa PDRM juga, jelasnya, menunjukkan kadar jenayah penipuan dalam talian yang mensasarkan rakyat di negara ini kian meningkat saban tahun.

"Jika kita lihat pada tahun 2020 sebanyak 47 kes penipuan dalam talian dilaporkan setiap hari.

@Jumlah itu meningkat kepada 57 kes sehari pada 2021 manakala kes yang dilaporkan pada tahun ini sejak Januari lalu hingga Mei pula berjumlah 72 kes setiap hari," jelasnya lagi.

Selain itu, beliau turut mendedahkan, statistik kes yang dilaporkan juga menunjukkan lebih 40 peratus mangsa penipuan membabitkan bangsa Melayu, 30 peratus (Cina), 19 peratus (India) manakala lain-lain bangsa 11 peratus.

Sementara bagi kategori profesion pula, Eng Lai berkata, pekerja di sektor swasta berada di kedudukan teratas paling tinggi setakat ini menjadi mangsa penipuan dikuti penjawat awam dan ahli perniagaan.

PDRM, katanya, sentiasa berharap orang ramai lebih berhati-hati dan berwaspada apabila menggunakan sosial media dan telefon pintar agar tidak menjadi mangsa kepada sebarang jenayah membabitkan penipuan dalam talian.

Kebanyakan kes yang melibatkan penipuan dalam talian, jelas Eng Lai, berkait rapat dengan sikap individu itu yang mudah mendedahkan diri mereka kepada risiko.

Sehubungan itu, PDRM, sentiasa meningkatkan kempen kesedaran dari semasa ke semasa untuk memastikan orang ramai menyedari risiko dan bahaya taktik penipuan dalam talian yang semakin licik ketika ini.

Dalam masa sama, penguatkuasaan undang-undang yang ada untuk membendung jenayah tersebut turut dilaksanakan.

AWANI