Usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada pendakwah bebas, Ustaz Abu Syafiq Al-Asy'ary yang didakwa melemparkan fitnah terhadap perniagaannya.

Aliff, 33, berkata tuduhan yang mendakwa dirinya hidup senang daripada hasil memakan duit daripada sumber haram disifatkan sebagai satu tuduhan keterlaluan.

Bahkan, katanya, individu tersebut turut mengajak orang ramai memboikot perniagaannya.

"Dia kata saya kaya jual produk haram, buat duit di Youtube, duit haram.

"Ustaz ini dah melampau-lampau menghina saya. Kalau awak nak mengata saya belut elektrik ke apa, saya tak kisah. Tapi jangan sentuh produk saya. Jangan sebarangan nak kata produk saya haram atau tiada kelulusan.

"Ingat saya keluarkan produk ini senang-senang ke? Kalau tak ada kelulusan, tak boleh keluar televisyen! Saya tuntut permohonan maaf daripada ustaz yang melampau-lampau memfitnah saya di laman sosial. Saya tertekan dengan ustaz ni," katanya dalam satu sidang media yang diadakan di ibu pejabat D'Herbs, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Hadir sama peguamnya, Hasshahari Johari Mawi daripada Hasshaari & Partners.

Terdahulu, seorang individu yang dipercayai pendakwah bebas mengkritik Aliff berkenaan isu kontroversi melibatkan keluarga arwah Abam menerusi akaun Facebook miliknya,

Dalam kritikan tersebut, individu tersebut dikatakan turut mempersoalkan tindakan Aliff yang dikatakan seolah-olah cuba mengaut keuntungan hasil daripada kandungan Youtube dengan cara yang salah.

Kata Aliff, tuduhan tersebut secara tidak langsung menjejaskan reputasi perniagaannya.

Justeru, katanya dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu tersebut jika tiada permohonan maaf dibuat.

"Bukan gara-gara Youtube saya kaya ya. Kalau tak buat permohonan maaf, saya serahkan kepada peguam saya untuk tindakan lanjut.

"11,000 orang kongsi video tu, tunggu saya saman, saya bukan main-main," katanya.