Komposer Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah sememangnya dikenali ramai menerusi pelbagai karya terbaik ciptaannya sekaligus mengangkat kualiti lagu Irama Malaysia sentiasa diminati ramai peminat.

Penulis lirik popular, Hairul Anwar Harun yang banyak bekerjasama dengan Pak Ngah dalam penciptaan lagu-lagu Irama Malaysia sebelum ini mengakui rakannya itu mempunyai bakat besar dalam menghasilkan lagu menjadi popular.

"Serasi antara kami memang ada, ada masa kami serius dan ada masa kami bergurau.

"Pernah dulu sekitar tahun 1998 beliau memberi satu demo lagu pada saya sambil mengatakan lagu ini bakal 'meletup'. Beliau meminta saya menulis lirik lagu itu mengenai seseorang individu atau tokoh di Malaysia.

"Saya belum lagi mendengar lagu itu tapi saya kata tak nak sebab rasa belum tentu sesuai dengan melodinya. Beliau bagi saya masa selama 2 hingga 3 hari untuk fikirkan lirik yang menjurus pada melodi rancak manakala penceritaan dalam lagu boleh jadi banyak serta meluas," katanya dalam temubual eksklusif bersama Astro Gempak.

Selepas 4 hari, Hairul kemudian menyerahkan lirik lagu itu kepada Pak Ngah lalu terhasil lagu berjudul Balqis nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza yang pernah diangkat sebagai Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu (AJL) pada tahun 2000.

"Dalam menghasilkan lirik lagu itu, saya membaca beberapa kisah Nabi dan Balqis paling melekat pada saya dan paling sesuai untuk dijadikan lagu.

"Ia mempunyai rentak samrah Arab. Jadi, memang sesuai kisah Balqis dengan lagu dan melodinya.

"Pak Ngah suruh saya pilih cerita lain tapi saya tak nak. Salah seorang juri pada pertandingan itu, Habsah Hassan mengatakan lirik paling sempurna dia pernah dengar," katanya.

Baginya, kejayaan lagu Balqis bersama Pak Ngah bukanlah untuk bermegah tapi memberi kepuasan pada diri sendiri apabila dapat memberikan sepenuh daya pada lagu itu sehingga menjadi terbaik.

"Saya juga pernah terima pembetulan daripada Pak Ngah terhadap lirik yang saya tulis. Ada juga lirik saya yang ditolak kerana mungkin terlalu berat dan perlu dibuat balik untuk menjadi lagu.

"Bagi saya, setiap lagu diterbitkan Pak Ngah sentiasa orang tunggu dan suka. Jadi, saya mengambil kesempatan itu untuk memperkenalkan perkara yang tidaklah menjadi biasa pada orang seperti lagu Cindai.

"Ramai yang tidak tahu maksudnya tapi saya cuba memperkenalkan budaya atau sastera lama pada masyarakat.

"Sebenarnya, banyak cerita lama yang saya olah lalu dijadikan lirik dalam lagu seperti lagu Hati Kama merupakan moral daripada kisah Nabi Yusof dan Nabi Daud yang saya terapkan dalam lirik lagu itu," katanya.

Hairul sebelum ini turut berkongsi ceritanya bagaimana Pak Ngah mencungkil bakatnya menjadi seorang penulis lirik. (Baca lagi: "Pak Ngah Percaya Pada Bakat Saya Sehingga Bertanggungjawab Bawa Saya Masuk Dalam Industri Muzik" - Hairul Anwar Harun)

MASA DEPAN IRAMA MALAYSIA



Kehilangan Pak Ngah secara tidak langsung memberi kesan pada masa depan industri muzik tempatan khususnya irama Malaysia.

"Pak Ngah diasuh dengan muzik sebegitu. Beliau banyak mengkaji dan mendengar lagu-lagu keseluruhan tradisional dan Irama Malaysia yang ada di Malaysia dan seluruh Nusantara.

"Pak Ngah memang 'masak' dan mahir cuma memikirkan masa yang sesuai untuk mengeluarkan lagu-lagu ciptaannya itu," katanya.

Hairul berpandangan dalam tempoh 5 tahun akan datang, dia belum nampak jalan bagaimana kegemilangan lagu Irama Malaysia akan kembali.

"Mungkin kita perlukan revolusi atau reformasi besaran. Jika tengok balik sejarah, Datuk M Nasir pernah muncul dengan lagu lebih kepada Nusantara iaitu Etnik Kreatif.

"Irama Malaysia muncul selepas kejatuhan zaman rock yang kemudian muncul lagu rap. Jadi, Irama Malaysia masuk secara perlahan.

"Pak Ngah adalah pembuat 'bom' pada Irama Malaysia meskipun pada masa itu Pak Pandir ada lagu Yang Remeh Temeh sebelum Awallah Dondang menyaksikan ramai peminat boleh menerima lagu sebegitu," katanya.

Sebagai usaha ke arah mengembalikan Irama Malaysia, Hairul memberi cadangan agar kerajaan dapat memperuntukkan bajet sebanyak RM1 juta untuk penerbitan 10 album baru.

"Jika sebuah lagu dianggarkan membelanjakan kos sebanyak RM10,000, kita boleh mendapat lagu yang berkualiti.

"Lagu Irama Malaysia tidak boleh menggunakan instrumen digital tapi kena dirakam dengan instrumen secara langsung barulah lagu itu hidup dan mempunyai jiwa.

"Sebab itu kos membuat lagu Irama Malaysia adalah tinggi. Seperti bermain alat muzik rebana, akordion dan seruling tidak boleh hanya bergantung pada bunyi digital," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @pakngahsuhaimi